Derita 10 tahun 250 pesawah berakhir

Derita 10 tahun 250 pesawah berakhir

RAZALI Saad (tengah) meninjau stesen pam elektrik di sistem blok pengairan ALBDr 8, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bendang Baru, Simpang Empat, Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Derita lebih 250 pesawah yang bergelut hampir 10 tahun akibat sawah padi mereka sering tenggelam setiap kali hujan lebat akhirnya tamat selepas pembinaan stesen pam elektrik di sistem blok pengairan ALBDr 8, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Simpang Empat, di sini.

Projek kerajaan negeri bernilai RM650,000 itu siap sepenuhnya 21 Mac lalu dan kini digunakan sepenuhnya bagi musim tanaman padi tahun ini.

Stesen pam tersebut berfungsi mempercepatkan penyaliran air keluar dari bendang yang ditenggelami air hujan, sekali gus menyelamatkan tanaman daripada musnah dan pesawah menanggung kerugian berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Per­tanian Negeri, Razali Saad berkata, lebih 240 hektar sawah di Kampung Bendang Baru, Tok Pulau, Chantek Bangun dan Bongor Kudong kini menikmati manfaat projek itu.

Projek tersebut dibina pada Jun 2024 dan siap sepenuhnya Mac lalu sekali gus memberi kelegaan kepada para pesawah yang berdepan masalah padi tenggelam selama ini.

“Sebelum ini pesawah terpaksa menabur benih padi berulang kali akibat sawah tenggelam dan rosak. Namun dengan adanya pam elektrik ini, masalah itu dapat diatasi secara lebih cepat dan efisien,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika meninjau kawasan projek berkenaan semalam.

September tahun lalu, hampir 6,000 hektar kawasan sawah padi di Kawasan Muda ditenggelami air akibat banjir berikutan hujan berterusan beberapa hari di Kedah dan Perlis.

Berdasarkan Laporan Padi Tenggelam yang dijalankan itu, kawasan terjejas melibatkan seluas 20 hektar di Wilayah Satu Perlis.

Banjir yang melanda kawasan jelapang padi seluas kira-kira 6,000 hektar di Kedah dan Perlis itu turut menyebabkan kerugian dianggarkan mencecah RM40 juta kepada pesawah.

Kata Razali, pembinaan stesen pam elektrik itu dirancang dilaksanakan di dua lagi kawasan di Guar Sanji selepas ini bagi mengatasi masalah padi tenggelam di lokasi berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN