DAP diingat jangan pertikai Perlembagaan, Raja-Raja Melayu isu titah adendum

DAP diingat jangan pertikai Perlembagaan, Raja-Raja Melayu isu titah adendum

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  DAP diminta menghormati Perlembagaan Persekutuan dan Raja-Raja Melayu sebelum membuat bantahan dalam isu titah adendum tahanan rumah membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Aktivis politik, Dr. Amran Ahmad berkata, DAP adalah parti yang masih ‘tak sedar dek untung’ kerana tanpa sokongan UMNO untuk membentuk Kerajaan Perpaduan, DAP tidak akan berada dalam kerajaan hari ini.

“Sudah lah tak hormat Perlembagaan dan Raja-raja Melayu, DAP juga tak hormat UMNO yang sudah tolong naikkan Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan, mana mungkin DAP tak tahu isu Najib. Isu ini sangat sensitif buat ahli-ahli UMNO, bahkan suatu perjuangan untuk tegakkan keadilan buat bekas Perdana Menteri itu.

“Jaga mulut kamu wahai DAP, jangan sampai Kerajaan Madani tumbang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) jika DAP terus bermulut celupar bila sentuh isu Najib,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegur Lim Lip Eng agar membaca dan memahami Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja, atau Yang di-Pertua Negeri untuk memberikan pengampunan, menangguhkan hukuman, atau meringankan hukuman.

Kata Asyraf Wajdi, jika itu yang dikehendaki Seri Paduka Baginda, siapa Lip Eng yang hendak mempertikaikannya, justeru, baca, fahami dan hormati Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Sebelum itu, Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Kepong menyifatkan cadangan agar Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sebagai tidak munasabah dan wajar ditolak secara tegas.

Menurut beliau, permintaan sedemikian mencabar prinsip keadilan dan menimbulkan persepsi wujudnya layanan istimewa terhadap tokoh politik yang berpengaruh.

Mengulas lanjut, Amran berkata, DAP perlu menjaga mulut wakil-wakil rakyatnya kerana ia boleh menentukan kestabilan politik dalam kerajaan perpaduan.

“Jangan jadikan isu tahanan rumah Najib sebagai talian hayat kamu untuk menang PRU nanti, lebih baik tunaikan janji pada pengundi terutamanya isu kos sara hidup, tol percuma dan banyak lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN