Anak Najib luah rasa sedih, kecewa susulan keputusan 1MDB

Anak Najib luah rasa sedih, kecewa susulan keputusan 1MDB

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kami sekeluarga amat sedih, pilu dan dukacita. Keputusan itu benar-benar di luar fikiran dan jangkaan kami.”

Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohamad Nizar Razak menyifatkan keputusan mahkamah dalam perbicaraan berkaitan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) yang diputuskan Jumaat lalu adalah di luar jangkaan keluarga.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, keluarganya amat terkesan dengan hukuman tambahan 15 tahun penjara serta denda sehingga lebih RM11 bilion dikenakan terhadap Najib amat mengecewakan.

Katanya, semua itu hanya menambah kekecewaan dan ia seakan tiada ruang diberikan kepada pembelaan.

“Sebagai reaksi kepada keputusan yang dibacakan oleh hakim, kami sekeluarga amat sedih, pilu dan dukacita. Keputusan itu benar-benar di luar fikiran dan jangkaan kami.

“Hakikatnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan sendiri pernah mendapatkan pengesahan derma diterima ayahanda daripada Kerajaan Arab Saudi dan siasatan itu memuaskan.

“Namun di mahkamah, ‘hearsay dan double hearsay’ pula dijadikan sandaran. Kami sekeluarga kecewa tetapi tidak akan berundur.

“Perjuangan menuntut keadilan buat ayahanda akan diteruskan. Mohon doa sahabat semua agar kebenaran akhirnya menang,” katanya dalam video berdurasi dua minit 10 saat yang dimuat naik di Facebook.

Mohamad Nizar turut menegaskan jasa dan sumbangan Najib kepada negara sepanjang tempoh pentadbirannya harus diambil kira, selain mempersoalkan ketiadaan individu yang didakwa sebagai dalang utama dalam kes berkenaan.

“Lebih mengecewakan apabila dalang utama kes ini, Jho Low masih belum dijumpai dan mereka yang bersubahat, bersekongkol dengannya pula dijadikan saksi,” katanya.

Menurutnya, keputusan itu menggambarkan dilema dan ujian besar yang terpaksa dihadapi ayahandanya sepanjang hayat.

“Bayangkan hukuman sebegini dijatuhkan. Saya fikir ini ujian yang amat berat buat ayahanda.

“Kami akan terus bersabar dan tabah menghadapi ketentuan Ilahi serta tidak akan berputus asa memperjuangkan keadilan buat ayahanda.

“Kami adik-beradik tidak akan berhenti menuntut bela dan akan terus memberi bantuan kepada beliau. Semoga ayahanda tabah menghadapi episod sedih ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penyokong bapanya serta rakyat Malaysia yang terus mendoakan kesejahteraan Najib dan keluarga.

“Saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua penyokong ayahanda Najib Razak dan rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk ayahanda saya.

“Terima kasih yang tidak terhingga, hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas jasa tuan puan semua,” katanya.

Bekas Presiden UMNO itu didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.

Keputusan itu disampaikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

Sequerah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua 25 pertuduhan terhadap Najib melampaui keraguan munasabah.

Najib, 72, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB melalui cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN