‘Dalam suasana menang mutlak, risiko leka tinggi’

‘Dalam suasana menang mutlak, selesa boleh jadi ancaman, risiko leka tinggi’

MUHAMAD HAMDI HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

DEWAN Pemuda Pas Terengganu memilih anak tokoh ulama tersohor, Allahyarham Datuk Harun Taib yang juga bekas Ketua Dewan Ulama Pas sebagai ketua baharu mereka bagi sesi 2025–2027.

Ustaz HAMDI HARUN menang tanpa bertanding jawatan itu dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke-56 Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu, Ahad lalu. Beliau diangkat ke jawatan tersebut dalam suasana politik yang berbeza apabila Pas bukan lagi pembangkang tetapi menguasai secara mutlak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.

Baginya, beliau dipilih memegang jawatan berkenaan atas faktor kesediaan dan kemampuannya, bukan kerana susur galur kekeluargaan. Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. SHARIZA ABDULLAH, beliau berkongsi hala tuju dan cabaran dipikulnya.

UTUSAN: Apakah status sebagai anak Allahyarham Datuk Harun Taib, ustaz diberi laluan untuk berada di jawatan ini?
HAMDI: Saya menganggap ini sebagai satu amanah besar daripada jemaah, bukan kerana saya anak kepada Allahyarham. Walaupun saya tidak nafikan jasa dan nama besar Allah­yarham sebagai tokoh gerakan Islam dan bekas Ketua Dewan Ulama Pas, pelantikan ini adalah hasil perbincangan dan keputusan syura dalam parti. Jemaah menilai kesediaan dan kemampuan saya secara kolektif, bukan atas keturunan. Saya hadir bukan untuk mewarisi kedudukan, tetapi untuk menyambung perjuangan yang telah diletakkan asasnya oleh para pejuang terdahulu.

Ustaz diangkat menerajui Dewan Pemuda semasa Pas memimpin kerajaan negeri dengan menguasai semua kerusi Parlimen dan Dewan Unda­ngan Negeri (DUN).
Bekas Ketua Pemuda Pas Terengganu sebelum saya iaitu Ustaz Harun Esa, juga memimpin pada era kemenangan, khususnya selepas Pilihan Raya Negeri 2018 dan sepanjang penggal bermula 2021. Jadi, saya me­nyambung kepemimpinan dalam suasana yang sudah terbina asas kekuatan. Namun, cabaran tetap besar terutama apabila Pas kini menguasai kesemua kerusi Parlimen dan DUN di Terengganu. Kita sedang mengurus satu fasa baharu iaitu mengurus kejayaan dan bagaimana untuk memastikan kemenangan ini terus memberi manfaat kepada rakyat serta tidak melahirkan rasa selesa dalam kalangan ahli dan pimpinan. Dalam suasana menang mutlak, risiko leka itu tinggi. Maka cabaran kami adalah untuk memastikan jentera Pemuda terus dinamik, istiqamah dalam tarbiah dan dakwah. Kita tidak mahu hanya menjadi penumpang kepada kemena­ngan, tetapi benar-benar berperanan memacu perubahan. Saya tidak melihat pelantikan ini sebagai satu anugerah peribadi, tetapi sebagai satu amanah besar yang perlu dipikul bersama oleh seluruh jentera perjuangan. Ia menuntut kesatuan tenaga, ukhuwah yang kukuh, keikhlasan dan mujahadah seluruh saf Pemuda daripada peringkat negeri hingga ke akar umbi agar kita terus kekal relevan, berprinsip dan menyumbang secara aktif dalam mengangkat martabat Islam dan membela rakyat. Kita berusaha untuk terus memberi sumbangan yang bermakna dalam perjuangan ini, bukan sekadar mengisi ruang yang ada.

Benarkah Pas kini ‘terlalu selesa’ di Terengganu?
Selesa itu boleh menjadi satu ancaman jika tidak di­iringi dengan muhasabah dan gerak kerja berterusan. Tetapi bagi kami di Pas Terengganu, khususnya Dewan Pemuda, kita sedar kemenangan ini bukan titik noktah, ia hanya satu fasa baharu dalam perjuangan. Kita tidak melihat kejayaan menguasai semua kerusi Parlimen dan DUN sebagai lesen untuk berehat atau berbangga diri. Sebaliknya, ia menjadi peringatan bahawa kita kini sedang berada di atas amanah rakyat dan di bawah pandangan Allah. Kemenangan ini perlu dipelihara dengan keikhlasan, tawaduk, dan gerak kerja yang tersusun.

Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu merasa lemah dan jangan pula bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang yang beriman.”
(Surah Ali ‘Imran: 139)

Ayat ini mengingatkan kita bahawa kedudukan tinggi di sisi Allah hanya apabila kita terus berpegang dengan iman, bukan semata-mata kuasa atau angka kerusi. Sebab itu, kami di Dewan Pemuda PAS sentiasa diingatkan oleh para mursyid dan pimpinan agar tidak alpa dalam zon selesa, sebaliknya terus berperanan sebagai barisan hadapan yang mendidik, membina dan mempertahankan dasar perjuangan Islam. Sikap terlalu selesa boleh melumpuhkan gerakan. Maka kita tanamkan dalam jiwa bahawa kemenangan hari ini bukan titik akhir, tetapi permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar. Kita mesti sentiasa kembali kepada matlamat asal, iaitu menegakkan Islam, membela rakyat dan membentuk generasi pewaris yang faham bahawa Islam itu sebagai cara hidup dan memahami erti pengorbanan.

Hala tuju atau fokus kepe­mimpinan Ustaz?
Fokus utama kami adalah memperkasa tarbiyah, memperluas pengaruh dakwah da­lam kalangan anak muda dan memperkukuh kekuatan orga­nisasi Pemuda Pas di semua peringkat. Kami mahu Pemuda menjadi angkatan yang bukan hanya bersedia menghadapi pilihan raya, tetapi mampu menjadi solusi kepada kegelisahan ge­nerasi muda masa kini dari aspek kerohanian, sosial, ekonomi dan kepimpinan. Satu aspek yang turut diberi perhatian serius ialah usaha mendidik anak muda agar berhibur dalam landasan Islam. Dalam dunia moden yang terbuka luas ini, hiburan menjadi sebahagian daripada kehidupan remaja dan belia. Kita tidak boleh menafikan fitrah itu, tetapi kita bertanggungjawab membimbing dan menyediakan alternatif yang sihat, beradab dan berpahala. Kita mahu budaya hiburan yang bebas dari unsur maksiat, tidak melalaikan dan membawa nilai membina bukan merosakkan. Ini termasuk pendekatan menganjurkan aktiviti sukan, seni, muzik, media kreatif dan ekspresi budaya dalam kerangka yang selari dengan syariat. Dalam masa yang sama, kita perlu membina kefahaman Islam yang menyeluruh agar anak muda tidak memisahkan antara agama dan gaya hidup. Insya-Allah, pendekatan ini akan dilaksanakan melalui gabungan usaha dakwah, tarbiah, latihan kepimpinan dan program-program untuk membimbing anak muda yang terlibat atau terdedah dengan masalah sosial supaya mereka bukan sahaja bersemangat dan ada cita-cita, tetapi juga memiliki jiwa yang bersih dan tahu arah hidup sebagai seorang Muslim.

Antara usul penting yang akan dibawa Pemuda Pas Terengganu pada Muktamar di Kedah September ini?
Ia berkaitan pendidikan politik dalam kalangan anak muda, pengukuhan sistem ekonomi berasaskan syariah dan usaha menangani gejala sosial yang semakin membarah melalui pendekatan lebih menyeluruh. Kita juga ingin mencadangkan agar jentera pemuda diperkasakan di semua negeri dalam aspek tarbiah, kebajikan ahli dan penguasaan media digital, agar selari dengan tuntutan zaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN