Dahulukan doktor kontrak ke jawatan tetap - MMA

Dahulukan doktor kontrak ke jawatan tetap – MMA

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengharapkan 4,000 jawatan baharu untuk doktor di fasiliti kesihatan awam akan dijadikan jawatan tetap khususnya kepada doktor kontrak.

Presidennya, Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira berkata, pihaknya menyambut baik Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan akan mewujudkan jawatan baharu untuk doktor termasuk bagi diisi oleh doktor kontrak.

Katanya, ia juga merupakan satu langkah positif dan sangat diperlukan dalam usaha meperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan awam serta menangani isu lama berkaitan doktor kontrak.

“Kami berharap agar jawatan-jawatan ini akan dijadikan jawatan tetap untuk doktor kontrak, dan sekiranya begitu, pemberian jawatan tetap itu dilakukan berdasarkan kekananan dari segi tempoh perkhidmatan. 

“Kami juga berharap bahawa selain daripada mengisi semua jawatan tetap yang masih kosong, kerajaan akan mewujudkan lebih banyak jawatan tetap dalam masa terdekat supaya semua baki doktor kontrak dalam sistem dapat diserap ke jawatan tetap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia berkata, kerajaan telah menambah bilangan jawatan doktor dan pegawai perubatan bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat. 

“Kementerian Kesihatan akan menyegerakan usaha mengisi lebih 4,352 perjawatan di fasiliti kesihatan terutama doktor kontrak seluruh negara menjelang hujung tahun 2025,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Kalwinder Singh berkata, setelah bilangan jawatan tetap mencukupi, kerajaan wajar memansuhkan skim perjawatan kontrak untuk doktor dan mengembalikan dasar menawarkan jawatan tetap kepada semua doktor baharu yang menyertai sistem penjagaan kesihatan awam.

“Ia sejajar dengan amalan sebelum ini dan juga selari dengan sektor perkhidmatan awam lain. 

“Langkah penting ini akan membantu mengembalikan keyakinan serta memberi motivasi kepada doktor untuk kekal dan berkhidmat dalam sektor awam, sekali gus memastikan jaminan pekerjaan yang lebih baik serta laluan kerjaya yang lebih jelas. 

“Ini akhirnya akan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan awam negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN