SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban hari ini membenarkan permohonan jaminan lima sekeluarga yang didakwa menculik seorang remaja perempuan berusia 16 tahun pada April lalu.
Peguam, T. Harpal Singh yang mewakili kesemua lima tertuduh memaklumkan perkara itu pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datin Surita Budin selepas menerima keputusan semakan berhubung jaminan yang difailkan untuk anak guamnya.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen pada 14 Mei lalu menolak permohonan jaminan lima tertuduh iaitu D. Sasveena, 31; T. Boharaj, 32; Farhin Muhamad Ariffin, 23; dan dua beradik P.K Koshenn Kumar, 21, serta P.K Siveeshinaa, 23.
Harpal Singh berkata, Mahkamah Tinggi membenarkan setiap tertuduh dijamin sebanyak RM15,000 dengan dua orang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.
Menurut Harpal Singal, lima syarat tambahan turut dikenakan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, tidak boleh keluar daerah jika ada keperluan mendesak perlu mendapat perintah mahkamah, melapor diri di balai polis sekali sebulan serta sekatan ke luar negara.
Sementara itu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni berkata, pihaknya telah menyerahkan semua dokumen kepada pihak pembelaan kecuali laporan forensik kamera litar tertutup (CCTV), laporan telefon bimbit tertuduh dan laporan perubatan mangsa.
Mengikut pertuduhan, lima tertuduh dengan niat bersama menculik seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dengan cara melarikannya bagi tujuan menuntut wang tebusan RM2 juta.
Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah salun rambut di Jalan S2 B10, Uptown Avenue Seremban 2 kira-kira jam 5.45 petang pada 10 April lalu.
Kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan dengan sebatan. Kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 5 Ogos depan.
Sebelum ini media melaporkan pada 14 April lalu, polis menembak mati seorang lelaki di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor dipercayai terlibat dengan kes penculikan itu. – UTUSAN