PUTRAJAYA: Pelakon dan pempengaruh, Cinta Aiyuni mendedahkan dirinya hampir mengalami gangguan emosi teruk selepas melahirkan anak sulungnya, Canteq Kesuma yang kini sudah mencecah usia lima bulan.
Cinta atau nama sebenarnya, Amira Ayuni Hashim, 28, berkata, pengalaman kali pertama menjadi ibu begitu mengejutkan dan mencabar buat dirinya sehingga muncul bisikan halus yang hampir mengganggu kewarasan mental.
“Sewaktu dalam pantang, saya sampai terdengar hasutan ‘benda’ itu suruh campak anak. Saya terus beritahu suami dan dia minta saya rehat. Dia ambil alih jaga anak walaupun keesokannya dia bekerja,” katanya dalam satu majlis pelancaran produk kosmetik terbaharu Lavvanya dan Myeongdong Topokki di IOI City Mall, Putrajaya, semalam.
Isteri kepada pelawak dan pelakon, Chiwan Chilok itu, tidak menyangka pengalaman berpantang boleh menjadi seteruk itu meskipun dia dibantu oleh suaminya yang memainkan peranan besar dari segi mental dan fizikal.
“Sejujurnya saya sangat bersyukur kerana berkahwin dengan Chiwan. Dia bukan bantu jaga anak sahaja, malah turut jaga saya sepenuhnya. Chiwan hanya tidur dua hingga tiga jam kerana dia yang banyak menguruskan Kesuma.
“Kadang-kadang tengah tidur pun saya menangis sebab terlalu penat. Suami akan tepuk saya dan tanya keadaan saya. Dialah yang akan tolong saya selesaikan kerja seharian saya untuk biarkan saya berehat sahaja. Saya sangat lega ada suami macam dia,” katanya.
Cinta juga pernah berkongsi pengalaman tersebut menerusi hantaran di Instagram dan menerima pelbagai reaksi dan nasihat daripada pengikutnya termasuk mendapatkan rawatan tradisional.
“Saya ada pernah kongsi di Instagram dan ramai yang suruh saya berubat, jumpa ustaz. Tapi saya tahu ‘benda’ tu memang boleh jadi semasa kita berpantang, sebab badan lemah dan emosi tak stabil,” katanya.
Cinta tidak menyangka kehamilannya berlaku sejurus selepas berkahwin dan menyifatkan anak sulungnya ini sebagai bayi yang ‘high demand’ terutama apabila anaknya kerap menangis dan tidak boleh berenggang bersama ayahnya.
“Saya terkejut sebab bunting pelamin, tak sangka akan dapat zuriat secepat itu. Ingatkan mungkin selepas tujuh bulan kahwin baru ada rezeki, tapi tak sangka terus hamil.
“Anak saya memang ‘high demand’ dari segi penyusuan. Kami perlu beri susu tepat pada masanya, kalau lewat sikit sahaja dia akan menangis dan melalak.
“Sekarang ini, saya perasan dia agak takut dengan orang, terutamanya mereka yang tidak dikenali. Jadi, agak sukar kalau nak bawa dia ke majlis atau tempat ramai orang,” tambahnya.
Bagi Cinta, biarpun dia tidak mengalami kesakitan teruk semasa bersalin, namun tekanan selepas melahirkan membuatkan dia masih trauma untuk menimang cahaya mata kedua dalam masa terdekat.
“Walaupun saya tak rasa sakit sangat semasa melahirkan sebab saya ambil ubat tahan sakit waktu itu, tapi saya masih trauma. Chiwan ada hasrat untuk tambah anak seorang lagi, tapi saya rasa perlu tunggu Kesuma tiga hingga empat tahun dahulu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Cinta turut menitipkan pesan buat ibu-ibu muda agar tidak menyimpan tekanan seorang diri, sebaliknya berkongsi rasa dengan individu yang dipercayai seperti suami, keluarga atau kenalan terdekat.
Cinta kini kembali aktif sebagai duta produk kecantikan dan berhasrat untuk kembali ke dunia lakonan walaupun pernah menolak tawaran berlakon ketika hamil dahulu.
Untuk rekod, Cinta telah mendirikan rumah tangga pada 5 Mei tahun lalu bersama pilihan hatinya Chiwan atau nama sebenar Mohd Azwan Sabri. Mereka dikurniakan cahaya mata mata sulung perempuan selepas empat bulan bergelar suami isteri. – UTUSAN