KUALA LUMPUR: Aktivis, Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin direman selama sehari bagi membantu siasatan berkaitan Himpunan Turun Anwar pada Sabtu lalu.
Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Chegubard yang ditahan pada pukul 2.30 petang semalam dijangka dibebaskan hari ini.
“Polis memohon reman selama empat hari namun ditolak dan Chegubard dibenarkan direman selama sehari sehingga hari ini.
“Beliau dijangka dibebaskan pada 5 petang di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, akhbar ini kini sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak polis berkaitan penahanan reman Chegubard.
Media semalam melaporkan, polis menahan dua individu termasuk Chegubard dipercayai membawa dan menyebat patung mirip Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Himpunan Turun Anwar pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dilaporkan berkata, pihaknya menjalankan siasatan terhadap peserta himpunan terbabit yang perbuatan mereka dirakam dan dimuat baik dalam media sosial oleh pihak-pihak tertentu.
Beliau dilaporkan, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Dua tangkapan dilakukan ke atas dua lelaki warga tenpatan berusia 21 dan 47 tahun.
“Turut dirampas peralatan komunikasi dipercayai digunakan untuk memuat naik dan menghantar maklumat berkaitan insiden itu,” katanya.- UTUSAN








