PETALING JAYA: Lebih 170 murid dari Sekolah Kebangsaan Sri Layang hari ini diraikan dalam Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Melukis dan Mewarna Chief Experience Officer (CEO) Art Challenge yang diilhamkan oleh Genting Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan SK Sri Layang.
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting, Spencer Lee berkata, pertandingan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Genting Bersama Malaysia,yang memberi peluang kepada kanak-kanak meluahkan impian mereka mengenai percutian keluarga di Resorts World Genting melalui karya seni yang sarat dengan warna, makna dan ekspresi peribadi.
Katanya, pertandingan itu juga bukan sekadar mencungkil bakat, tetapi juga memperkukuh keyakinan dan jati diri generasi muda dalam mengekspresikan pandangan mereka terhadap dunia.
“Menerusi inisiatif Genting Bersama Malaysia, kami bukan sekadar meraikan kreativiti tetapi kami memperkasakannya. CEO Art Challenge ialah platform bagi kanak-kanak untuk berani bermimpi, bebas mengekspresikan diri dan yakin terhadap kekuatan idea mereka.
“Setiap lukisan mencerminkan inspirasi anak-anak kita melalui perspektif kesejahteraan dan kebersamaan. Ini adalah cerminan masa depan generasi yang kreatif, yakin dan penuh harapan,” katanya.
Tambahnya, pertandingan yang berlangsung dari 18 Jun hingga 2 Julai itu menyaksikan sebanyak 21 murid dipilih sebagai pemenang – terdiri daripada 18 murid Tahun 1 hingga Tahun 6, serta tiga pemenang daripada kategori prasekolah.
“Antara hadiah yang ditawarkan termasuk tiket masuk ke Taman Tema Tertutup Skytropolis, set permainan dan boneka, serta sijil penyertaan untuk semua peserta.
“Lebih istimewa, semua hasil karya yang dihasilkan akan dipamerkan di Resorts World Genting dalam sebuah pameran khas sebagai penghargaan kepada peserta serta peluang untuk umum menikmati keunikan dan keaslian idea mereka.
“Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen Genting Malaysia dalam menyemarakkan peranan seni dan pendidikan sebagai jambatan antara komuniti dan industri, demi membina masa depan yang lebih cerah, kreatif dan penuh inspirasi,” ujarnya.-UTUSAN