PETALING JAYA: Cadangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk meningkatkan waktu kerja jururawat kepada 45 jam seminggu akan meningkatkan risiko kelangsungan sistem kesihatan awam yang sudah dihantui beban kerja berlebihan, kekurangan kakitangan dan pesakit semakin ramai.
Ahli Dewan Negara, Senator Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam berkata, JPA perlu bersedia untuk bertanggungjawab sekiranya dasar itu menyebabkan lebih ramai petugas kesihatan meletakkan jawatan dan membawa kepada kegagalan sistem kesihatan negara.
Katanya, moral petugas kesihatan kini berada pada tahap paling rendah dan apa yang diperlukan ketika ini adalah sokongan, insentif serta pengiktirafan terhadap jasa mereka yang berkorban setiap hari demi kesihatan rakyat.
“Saya telah berinteraksi dengan ramai persatuan jururawat dan kesatuan dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan majoriti menyatakan mereka tidak akan bertahan jika beban kerja ditambah tanpa sebarang imbuhan atau penyelesaian isu kebajikan.
“Jangan tunggu sehingga hospital awam lumpuh, barulah mahu mencari siapa yang harus dipersalahkan. Jika JPA terus berkeras, maka merekalah yang akan dipertanggungjawabkan oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lingeshwaran yang juga bekas Pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang menyokong penuh kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, yang mengakui negara kini berdepan krisis kekurangan jururawat.
Katanya, sejak tahun 2020, lebih 6,900 petugas kesihatan termasuk jururawat, pegawai perubatan dan pakar telah meletakkan jawatan sekali gus menggambarkan tekanan sebenar yang dihadapi mereka di lapangan.
“Ini bukan masa untuk menambah beban kerja tanpa mengambil kira impaknya terhadap kesejahteraan dan motivasi petugas.
“Kita sepatutnya mencari jalan untuk mengekalkan mereka dalam sistem, bukan menghalau mereka keluar secara tidak langsung,” katanya. – UTUSAN