PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan bagi dua tajuk penerbitan melalui warta kerajaan iatu Chase Me dan Ammar Zahrain: The Obsessive Husband kuasa pada 1 dan 3 Julai 2025.
KDN berkata, Perintah Larangan itu merupakan satu mekanisme kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.
“Menerusi penerbitan bertajuk Chase Me oleh Tessa Bailey, ia dibuat melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 13) 2025 [P.U.(A) 203] berkuat kuasa pada 1 Julai kerana mungkin memudaratkan kemoralan.
“Ammar Zahrain: The Obsessive Husband oleh Nssignature melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 14) 2025 [P.U.(A) 204] berkuat kuasa pada 3 Julai kerana mungkin memudaratkan kemoralan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KDN berkata, pada masa sama, menerusi perintah itu, ia membolehkan masyarakat dilindungi dan memperoleh pendedahan serta kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan
umum.
“Sebagaimana peruntukan bawah subseksyen 7(1) Akta 301, pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan kesemua hasil penerbitan disenaraikan dilarang secara mutlak di Malaysia.
“Diingatkan bahawa Perintah Larangan hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak kerana kesalahan-kesalahan berkaitan dengan hasil penerbitan larangan boleh dikenakan tindakan,” katanya.
KDN berkata, kerajaan ingin menyatakan komitmen berterusan untuk melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam.
“Maklumat lanjut berkaitan dengan hasil penerbitan yang telah dikenakan tindakan Perintah Larangan bawah Akta 301 juga boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi KDN atau portal Perundangan Persekutuan Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN