Selepas bertahun-tahun membina nama sebagai pelawak, pengacara dan pelakon serba boleh, Nabil Ahmad kini mula membuka ruang kepada anak sulungnya, Nayla Mikayla untuk meneroka dunia seni tanah air.
Ia dibuktikan menerusi pembabitan Mika sebagai TCO Sister dalam rancangan realiti The Chosen One Xtra terbitan Astro.
Peranan tersebut bukan sekadar watak sampingan, tetapi membawa peranan sebagai penyokong moral dan ‘kakak’ kepada peserta muda lain yang bertanding dalam program tersebut.
Bagaimanapun, apabila pengumuman itu dibuat, ia menimbulkan tanda tanya apakah pemilihan Mika sebagai sebahagian daripada program tersebut kerana statusnya sebagai anak kepada selebriti popular.
Namun, ketika dilayangkan pertanyaan itu kepada Nabil sendiri, dia yakin bahawa itu bukanlah faktornya.
Bagi Nabil, penyertaan Mika bukanlah tiket istimewa yang dihamparkan tanpa usaha, sebaliknya melalui proses pemilihan dan uji bakat seperti peserta lain.
“Bukan sebab Mika anak saya. Dia tetap kena pergi sesi uji bakat, tetap kena masuk kelas dengan rakan seperjuangan lain. Proses sama macam orang lain.
“Produksi minta dia buat, dia buat dan dia boleh sampaikan dengan baik. Alhamdulillah rezeki dia.
“Saya bagi peluang ini sebab nak dia dapat pendedahan itu. Di sekolah pun dia dah banyak kendalikan perhimpunan, jadi pengacara majlis dan sebagainya. Bila dapat tawaran peranan TCO Sister ini, saya kata okey, biar dia rasa macam mana dunia kerjaya ini berfungsi,”katanya.
Menurut Nabil, pendedahan awal kepada dunia pengacaraan adalah satu langkah persediaan bagi Mikayla menghadapi masa depan dengan lebih berani dan yakin.
Dia sendiri mengakui keberanian di atas pentas merupakan satu nilai penting dan berguna, bukan sahaja dalam industri hiburan, malah dalam kehidupan seharian dan kerjaya lain pada masa akan datang.
“Kalau dia boleh kawal pentas, insya-Allah, nanti bila kerja dia boleh berhadapan dengan semua orang, boleh berkomunikasi dengan baik dan membina rangkaian kerjaya sendiri.
“Keyakinan itu penting. Apa yang saya buat ini adalah proses bagi membantu dia jadi lebih bersedia,” jelasnya.
Menurut Nabil lagi, walaupun membuka ruang untuk Mikayla dalam bidang seni, dia bagaimanapun tetap menegaskan bahawa pendidikan adalah keutamaan.
Baginya, dunia hiburan khususnya pengacaraan, hanyalah platform untuk mem-perkasa keyakinan dan komunikasi anaknya, tetapi bukan destinasi utama.
“Sebagai bapa, saya nak dia belajar, masuk universiti. Kalau boleh, jadi doktor ke, jurutera ke. Saya sendiri tak ada sijil, tapi saya harap dia tak ulang benda sama.
“Industri seni ini hanya alat bantu dia dapat keyakinan, bukan untuk dia kekal selama-lamanya,” katanya.
Berkongsi lanjut, kata Nabil, dia turut menyatakan keprihatinannya terhadap komitmen anaknya di sekolah.
Katanya, meskipun terlibat dalam program hiburan, Nabil memastikan jadual Mikayla tidak terganggu dan hanya melibatkan Sabtu dan Ahad.
Malah, katanya, anaknya tetap perlu bangun awal ke sekolah pada pagi Isnin, walaupun baru pulang lewat malam Ahad dari sesi rakaman.
Dalam pada itu, Nabil tidak menafikan bahawa dunia hiburan datang bersama cabaran tersendiri termasuk kecaman, tekanan mental, dan persaingan sengit.
Malah, dia sudah bersedia sekiranya Mikayla turut terpalit dengan kritikan atau cakap-cakap belakang dan berulang kali memberi peringatan kepada anak perempuannya itu supaya kuat semangat andai dilanda perkara seumpama itu.
“Saya pun dulu menangis, murung masa mula-mula masuk industri seni apabila dikritik, dihentam dan sebagainya.
“Tapi saya jumpa cara untuk terima dan hadapi semua itu. Dia pun kena belajar. Tak ada jalan singkat. Anak siapa pun, tetap kena lalui semua proses tu.
“Saya nak dia tahu apa itu kerja, apa itu usaha. Supaya bila besar nanti, dia boleh berdiri dengan kaki sendiri, bukan atas nama ‘anak Nabil Ahmad’,” katanya menutup bicara.