‘Buat usul tidak percaya saya atau tunggu PRU’

‘Buat usul tidak percaya saya atau tunggu PRU’

ANWAR Ibrahim pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 di pekarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.-UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak menghalang penganjuran Himpunan Turun Anwar diadakan oleh pemimpin pembangkang kerana menghormati prinsip demokrasi diamalkan di negara ini.

Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan belum tentu beliau akan meletakkan jawatan hanya kerana perhimpunan atau tunjuk perasaan yang diadakan itu.

Katanya, kerajaan yang diterajuinya boleh bertukar jika usul hilang sokongan terhadap Perdana Menteri dibawa ke Parlimen.

“Tetapi perkara itu tidak berlaku buat masa ini kerana tidak ada sokongan diterima khususnya dalam kalangan ahli Parlimen yang berkenaan,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 di pekarangan Stadium Batu Kawan, di sini, semalam.

Menurutnya, mereka yang mahu menjatuhkannya sepatutnya tunggu Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang tetapi kerana ada yang tidak sabar, mereka merancang mengadakannya melalui tunjuk perasaan.

Kelmarin, polis mengingatkan peserta dan penganjur Himpunan Turun Anwar 26 Julai ini, berhimpun secara aman tanpa melakukan provokasi sehingga mencetuskan keadaan tidak aman.

Mengenai isu lantikan Hakim, Anwar berkata, proses pelantikan melalui semua peringkat sewajarnya termasuk penilaian oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), perbincangan dengan Raja-Raja Melayu serta perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Pemilihan Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim lain dilaksanakan berlandaskan sistem semak dan imbang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya tidak memberikan sebarang kenyataan seminggu lalu kerana menghormati sistem dan prosedur pemilihan yang melalui peringkat sewajarnya.

“Saya nak jawab tak boleh sebab pelantikan hakim membabitkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya dapatkan nama (calon hakim) daripada JAC, timbang, bawa kepada Agong dan bila diperkenan, cadangan itu akan dibincangkan dalam Majlis Raja-Raja.

“Saya kena berdepan dengan Raja-Raja untuk beri penjelasan, kemudiannya perlu dipersetujui Majlis Raja-Raja, Agong tandatangan dan baru lah saya boleh jawab,” katanya dalam ucapan Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera Tunas Madani dan Projek Perumahan JKPSB di Dewan Besar, Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, semalam.

Lapan Hakim Mahkamah Rayuan dan 14 Hakim Mahkamah Tinggi yang dilantik akan mengangkat sumpah pada 28 Julai nanti.

Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Selain itu, Sultan Ibrahim juga memperkenankan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak bagi menggantikan hakim yang bakal bersara.

Anwar berkata, pembangkang bertindak memainkan isu berkenaan, namun kemudiannya bersetuju dengan pengumuman lantikan yang telah dibuat kelmarin.

“Seminggu dia (pembangkang) ‘balun’ kita setengah mati, kata Anwar perosak badan kehakiman, tetapi hakim mana yang saya buang? Hakim mana yang kena pecat? Tak ada.

“Kita terbawa-bawa kerana yang bercakap itu ‘ustaz’, maka kita terima terus. Lepas kita umum, (pembangkang) terus terima keputusan, tetapi minta maaf pun tidak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN