Bot penambang masih beroperasi sejak tahun 1960-an

Bot penambang masih beroperasi sejak tahun 1960-an

PENDUDUK menggunakan perkhidmatan bot penambang menyeberangi Sungai Perak ke bandar Teluk Intan. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Penduduk di sekitar Seberang Perak, Sungai Jejawi, Sungai Buaya, Sungai Timah, Sungai Kerang masih menggunakan perkhidmatan bot penambang yang beroperasi sejak tahun 1960-an menyeberangi Sungai Perak ke bandar ini.

Muhammad Syafiq Mohd. Yasin, 35, adalah pemilik baru perkhidmatan bot penambang itu selepas mengambil alih perniagaan itu daripada pemilik asal, iaitu adik beradik kembar, Lee Ah Seng dan Lee Ngam, masing-masing berusia 64 tahun.

Dua beradik itu sudah tidak mampu meneruskan perkhidmatan bot penambang akibat masalah kesihatan dan faktor usia.

Muhammad Syafiq berkata, pengangkutan bot tambang masih menjadi pilihan penduduk yang menghubungkan beberapa kawasan dengan bandar Teluk Intan untuk mereka menyeberangi Sungai Perak dengan jarak kira-kira 600 meter.

Dia memulakan operasi seawal pukul 7 pagi sehingga 7 malam dan bot penambang mengambil penumpang dari Jeti Kampung Cina ke Jeti pokok Asam di bandar Teluk Intan.

Sudah hampir sebulan dia membawa bot penambang dan sebagai pemilik baharu bot penambang tersebut dan dia mahu meneruskan perkhidmatan itu untuk kemudahan pengguna.

“Saya mengambil alih perkhid­matan ini kerana berpengalaman memandu bot menerusi pekerjaan saya sebelum ini sebagai jurumudi bot untuk bot pelancong River Cruise di Sungai Perak di sini.

“Saya juga tidak mahu perkhid­matan bot penambang ini hilang begitu sahaja kerana tak ada orang yang mahu meneruskannya. Bot penambang ini merupakan warisan bagi bandar ini kerana ia sudah beroperasi sejak tahun 1960-an lagi dan menjadi tarikan pelancong di sini selain Menara Condong.

“Saya adalah satu-satunya pengusaha bot penambang yang masih beroperasi dan mahu meneruskan perkhidmatan ini selagi terdaya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, dia masih mengenakan tambang RM1 bagi setiap penumpang dan kadar yang sama bagi motosikal.

Katanya, dia masih baru mengendalikan perkhidmatan itu dan banyak perkara yang perlu dipelajarinya.

“Perkara utama yang saya berikan perhatian ialah aspek keselamatan penumpang dan saya akan memastikan aspek ini turut dipatuhi oleh penumpang,” katanya.

Sementara itu, pemilik asal bot penambang, Ah Seng berkata, dia da kembarnya, Ngam Kuat sudah tidak mampu meneruskan perkhidmatan bot penambang kerana sudah tua.

Menurutnya, keadaan kesihatannya juga kurang baik kerana menghidap penyakit jantung dan anak-anaknya pula tidak berminat untuk meneruskan perkhidmatan tersebut.

“Kami sudah tak mampu untuk mengendalikan bot penambang ini, lebih baik kami jual kepada orang yang mampu mengendalikannya dan mempunyai pengalaman membawa bot,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN