Bomba buat laporan polis terhadap pempengaruh permotoran Ija

Bomba buat laporan polis terhadap pempengaruh permotoran Ija

BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor membuat laporan polis semalam terhadap pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, dan adiknya yang didakwa memberi maklumat palsu tentang kehilangan lelaki tersebut.

Menurut Ketua Zon 4, Penguasa Kanan Bomba II Nor Shuhada Amsari berkata, laporan dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muar kira-kira pukul 11.30 pagi semalam selepas pihaknya menerima nasihat Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.

“Keputusan membuat laporan polis ini atas sebab JBPM beranggapan perbuatan membuat laporan palsu ini adalah suatu tindakan yang tidak wajar dan menyebabkan pembaziran sumber dan masa.

“Selain itu, ia membabitkan risiko keselamatan pasukan penyelamat serta mengganggu tugas-tugas kecemasan lain. Tindakan membuat laporan palsu ini turut menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan masyarakat terhadap agensi penyelamat dan pihak berkuasa jika tidak dibendung,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurutnya, laporan polis itu juga dibuat supaya orang awam mengambil iktibar untuk tidak membuat perkara yang tidak berfaedah seperti itu.

“Saya tegaskan ia adalah tindakan yang tidak wajar kerana kami bimbang boleh mengganggu insiden kecemasan lain,” katanya sambil memberitahu seramai 30 pegawai dan anggota bomba dari Muar, Labis dan Pagoh dikerah ke lokasi untuk mencari mangsa sebaik menerima laporan selain 47 anggota polis dan pelbagai agensi lain turut serta dalam operasi berkenaan.

Walaupun Ija Nizaruddin selamat, namun dia perlu ada rasa tanggungjawab.

“Dia membuat tindakan yang tidak relevan seperti ini kepada keluarga terdekat, orang awam serta pasukan penyelamat dan pihak berkuasa. Pasukan keselamatan tinggalkan keluarga selama empat hari berkampung di lokasi untuk mencari dan menyelamatkannya dan kita berusaha jalankan tugas sebaik mungkin mencari dia, tetapi dia buat laporan palsu,” katanya.

Pada 14 Julai lalu, Ija Nizaruddin dilaporkan hilang sedangkan kereta Perodua Axia yang dipandunya dari rumahnya di Johor Bahru, kononnya untuk pergi ke bengkel rakannya di Muar ditemukan di Sungai Tui, Bukit Kepong.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN