MUAR: Barisan Nasional (BN) Johor dicadang bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka pada 2027 tanpa membabitkan mana-mana gabungan atau kerjasama parti politik luar.
Perkara itu merupakan antara usul dicadangkan dalam Mesyuarat Perwakilan Bahagian Bakri di sini hari ini.
Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Azman Ismail berkata, kemenangan besar BN Johor dalam PRN lalu membuktikan bahawa parti itu masih kukuh dan menjadi pilihan majoriti rakyat sekali gus menunjukkan rekod itu tanpa perlu bergantung kepada parti luar.
Katanya, kerjasama dengan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan walaupun bersifat sementara dan demi kestabilan negara, namun menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi dan akar umbi parti.
“Rakyat sukar membezakan siapa lawan dan siapa kawan, ini merugikan kita dalam jangka panjang.
“BN Johor mempunyai jentera tersusun, berdisiplin, berpengalaman dan sangat memahami landskap politik setempat selain mempunyai pemimpin tempatan berwibawa, berdedikasi serta sokongan akar umbi yang terbukti setia,” katanya ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan Bahagian Bakri yang disempurnakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Ahmad Maslan.
Azman berkata, langkah BN Johor bertanding solo juga dapat memberi ruang kepada UMNO dan komponennya menampilkan manifesto dan kepemimpinan lebih jelas dan tersendiri selaras dengan kehendak rakyat negeri ini.
“Jika kita ingin melihat UMNO dan BN kembali menjadi parti pilihan rakyat, maka kita mesti berani membuat keputusan berprinsip, walaupun sukar.
“Johor adalah tapak kekuatan kita dan dari Johor jugalah kebangkitan UMNO bermula, inilah waktunya untuk kita hantar isyarat jelas kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










