PETALING JAYA: “Biarlah dia.”
Demikian jawapan ringkas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu didakwa berhubung isu berkaitan kedaulatan Batu Putih
Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.
Semalam, Dr. Mahathir tidak mahu diberikan sebarang imuniti dalam isu berkaitan kedaulatan Batu Putih, sebaliknya, mahu dirinya dihadapkan ke mahkamah untuk menentukan sama ada beliau bersalah atau tidak dalam isu tersebut.
“Dia (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) kata umur saya 100 tahun kerana itu saya tidak didakwa walaupun bersalah. Ini bermakna saya dapat imuniti.
“Saya tidak mahu imuniti. Jika tuduh saya bersalah, hadapkan saya di mahkamah dan buktikan saya bersalah. Saya tahu saya tak bersalah dan saya mahu buktikan,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.
Kenyataan itu hadir susulan laporan media tempatan yang melaporan bahawa kerajaan memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr. Mahathir berhubung isu Batu Puteh atas faktor usia beliau yang sudah lanjut.
Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, Kabinet tetap berpendirian bahawa Dr. Mahathir bersalah kerana keputusannya ketika mentadbir negara pada 2018 yang melepaskan Batu Puteh dengan begitu mudah kepada Singapura. – UTUSAN










