SEREMBAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan memberikan sokongan supaya Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin kekal menerajui kepemimpinan parti dan memimpin Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, sokongan itu sejajar dengan keputusan yang dipersetujui dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2024 yang memperakui peranan Muhyiddin sebagai tokoh berwibawa dalam memperkukuhkan hala tuju perjuangan parti dan gabungan.
“Tan Sri Muhyiddin bukan sekadar seorang pemimpin beliau adalah simbol kestabilan, ketegasan dan keprihatinan terhadap nasib rakyat.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mempertahankan kepimpinan beliau dan memperkukuhkan lagi perpaduan dalam Bersatu dan PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, Bersartu Negeri Sembilan kini giat memperkukuh jentera parti di semua peringkat.
“Gerak kerja ini menumpukan kepada penyusunan semula organisasi secara strategik, penggemblengan kekuatan akar umbi dan peningkatan latihan dan kesiapsiagaan jentera menghadapi PRU-16,” katanya.
Semalam media melaporkan Bersatu Bahagian Bersatu Port Dickson sebulat suara meluluskan usul agar peralihan kepemimpinan parti yang menyaksikan Datuk Seri Hamzah Zainudin disaran mengambil alih peranan sebagai Presiden, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Usul yang dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian itu turut mencadangkan Muhyiddin diberi peranan sebagai penasihat dan mentor kepada parti.-UTUSAN