DUNGUN: Dua set pertama tren elektrik pelbagai unit (EMU) dan dua unit lokomotif elektrik (E-Loco) untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dijangka tiba pada Disember ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, ketibaan tren tersebut bagi membolehkan ujian pentauliahan untuk tren perkhidmatan penumpang dan kargo dilaksanakan pada Jun 2026.
Katanya, secara keseluruhan, ECRL mempunyai 11 EMU untuk perkhidmatan penumpang dan 20 lokomotif bagi perkhidmatan kargo.
“Dua tren pertama akan tiba pada penghujung tahun ini manakala baki sembilan lagi dijangka sampai pada bulan April dan Mei tahun depan. Semua tren ini akan digunakan dalam program ujian di tapak fasiliti ECRL,” katanya selepas merasmikan Mega Fiesta TVET POLYCC 2025 di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Abdul Razak Sabtu serta Pengarah PSMZA, Zamra Derahman.
Menurut Darwis, kerja-kerja pembinaan ECRL berada pada keadaan dan landasan yang baik mengikut jadual serta dapat disiapkan pada hujung tahun depan.
“Berbaki hanya tinggal satu ‘raya’ sahaja lagi, satu tahun sahaja lagi, kita boleh naik ECRL pada Januari 2027 apabila ia beroperasi sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, Darwis berkata, kesemua 210 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang menjalani Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) di Liuzhou, China diberikan peluang pekerjaan selepas tamat tempoh latihan selama setahun dengan tawaran gaji permulaan sebanyak RM3,000.
Menurutnya, setakat ini seramai 101 pelajar telah dihantar menyertai program itu sejak Mei lalu dan bakinya 109 pelajar akan dihantar secara berperingkat pada Ogos hingga Oktober tahun ini.
“Apabila pelatih ini pulang ke tanah air, kita memberi jaminan untuk mereka mendapat pekerjaan dengan ECRL pada fasa pengoperasian,” katanya. – UTUSAN