Bedah siasat mayat kanak dipercayai dibunuh tengah hari ini

Bedah siasat mayat kanak-kanak dipercayai dibunuh bermula tengah hari ini

KEADAAN di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau ketika tinjauan Utusan Malaysia hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Suasana Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, di sini, sugul menunggu proses bedah siasat mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemukan di Rompin, Jempol petang semalam, dipercayai dibunuh.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof, proses bedah siasat sudah dimulakan pada pukul 12 tengah hari tadi.

“Setakat soal siasat awal semalam, motif masih belum jelas cuma suspek mempunyai masalah rumah tangga dengan isteri dan dalam proses bercerai.

“Suspek juga tidak memberi respon yang positif,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, suspek akan di bawa ke Jempol pada 31 Julai ini bagi siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Reman dijangka akan dipohon di Mahkamah Majistret Bahau pada 1 Ogos ini,” katanya.

Semalam, Ahmad Dzaffir dilaporkan berkata, kira-kira pukul 4.30 petang, pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol telah menerima maklumat penemuan mayat kanak-kanak di kawasan Rompin.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian awal berlaku di Johor Bahru di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun telah dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, pada 24 Julai lalu.

Katanya, kes berkenaan kemudian disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan orang hilang.

Katanya, tangkapan telah dibuat oleh pihak polis Kontinjen Johor ke atas suspek iaitu seorang lelaki berusia 36 tahun.

Menurutnya, tindakan susulan telah membawa kepada penemuan mayat mangsa ditanam di kawasan Rompin, Jempol yang disyaki dibunuh.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN