KUANTAN: “Lazimnya dia akan maklumkan kepada saya jika mahu pergi memancing, tapi kali ini langsung tidak beritahu,” demikian luah penuh sebak Razmi Yaacob, 56, bapa kepada Muhammad Isyraf Danish, 15, yang ditemukan lemas ketika memancing bersama tiga rakannya di Sungai Talam, berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Talam, Indera Mahkota, kelmarin.
Mangsa, anak bongsu daripada tiga beradik, dipercayai tergelincir ke dalam sungai kira-kira pukul 7.20 malam.
Menurut Razmi yang merupakan pemilik sebuah bengkel kereta, beliau hanya mengetahui kejadian menyayat hati itu selepas menerima panggilan telefon daripada pihak polis ketika sedang berada di bandar untuk membuat pemeriksaan mata.
“Sebaik menerima panggilan, saya terus batalkan semua urusan dan bergegas ke lokasi. Saya tiba lebih kurang pukul 7.30 malam dan ketika itu hanya kelihatan beberapa remaja dan anggota polis.
“Saya benar-benar terkejut sebab tak tahu langsung dia keluar memancing. Selalunya, waktu petang dia main bola,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Menurutnya lagi, sejak kecil arwah memang meminati aktiviti memancing dan sering mengikutnya ke tepi sungai. Namun, kali ini anaknya keluar tanpa sebarang pesanan seperti kebiasaan.
“Saya percaya ini kali pertama dia datang ke sungai itu bersama rakan-rakan. Dia pandai berenang sebab saya ajar sejak umur tiga tahun. Tapi mungkin arus deras,” katanya dengan nada sayu.
Razmi berkata, kali terakhir beliau bertemu arwah adalah pada Ahad lalu ketika mereka keluar makan dan bersiar-siar bersama seperti rutin mingguan mereka memandangkan beliau telah berpisah dengan isteri.
Mayat Muhammad Isyraf Danish ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 12.40 tengah hari semalam, satu kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh ke dalam sungai. – UTUSAN










