Bakar duit RM1 juta untuk lupus bukti rasuah

Bakar duit RM1 juta untuk lupus bukti rasuah

Sebahagian daripada wang RM100 yang dibakar oleh suspek kes rasuah bagi melupuskan bahan bukti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suspek kes rasuah projek pusat data di Johor dipercayai membakar wang tunai RM1 juta bagi melupuskan bukti ekoran serbuan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya di sini Khamis lalu.

Menurut sumber, suspek dipercayai bertindak nekad mengambil beberapa bungkusan wang tunai dan cuba melupuskannya.

“Selepas pintu rumah berjaya dibuka, pasukan SPRM yang membuat serbuan mendapati keadaan dalam rumah berkenaan dipenuhi asap tebal dari sebuah bilik mandi.

“Hasil pemeriksaan dijalankan di bilik mandi berkenaan, SPRM menemukan wang kertas RM100 berjumlah RM1 juta yang sudah terbakar,” katanya.

Sumber berkata, SPRM kemudian menemukan wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang disimpan dalam beberapa kotak bantal.

Turut ditemukan tiga utas jam tangan jenama Rolex, Omega dan Cartier, selain barang kemas seperti cincin serta syiling emas.

“Kesemua barangan berkenaan disita bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan mengenai tindakan suspek yang membakar wang kertas berkenaan.

Beliau berkata, tindakan suspek cuba melupuskan bahan-bahan bukti merupakan satu kesalahan serius yang boleh didakwa di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

“Fokus utama siasatan kes ini adalah di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17A Akta SPRM 2009,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN