Ayda Jebat akui sudah dua bulan tidak hadir fisioterapi

Ayda Jebat akui sudah dua bulan tidak hadir fisioterapi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat mengakui sudah hampir dua bulan tidak menjalani rawatan fisioterapi bagi masalah tulang belakang tergelincir (mild slip disc) yang dialaminya sejak beberapa bulan lalu.

Ayda atau nama lengkapnya Nur Suhada Jebat berkata, kesibukan dengan jadual kerja yang padat menjadi faktor utama dirinya tidak berkesempatan untuk memberi tumpuan kepada kesihatan diri seperti sepatutnya.

“Saya dah dua bulan tak pergi fisioterapi sebab saya tiada cuti. Kalau ikutkan, kena pergi seminggu sekali atau dua kali.

“Tapi bila saya tidak sibuk dengan penggambaran drama sekalipun, saya akan sibuk dengan perkara lain macam penggambaran jenama, buat rakaman,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Home Of Drama di sini, baru-baru ini.

Ayda mengakui tubuhnya mula memberi isyarat keletihan, terutama apabila perlu melakonkan babak berat yang memerlukan pergerakan fizikal ketika berada di set penggambaran.

“Bila pergi fisio, badan kita akan rasa segar. Tapi bila lama tidak pergi dan kena pula angkat barang, naik turun tangga semasa berlakon, memang rasa penat.

“Sampai rumah, saya akan fikir balik sama ada nak makan ubat atau baring sekejap,” ujarnya.

Bagaimanapun, Ayda tetap berusaha untuk mengambil langkah berjaga-jaga demi kesihatan dirinya dengan pengambilan ubat secara terkawal sekiranya mengalami kesakitan yang teruk.

“Masa berlakon, pengarah sudah sedia maklum yang saya ada slip disc, jadi jika ada babak jatuh atau aksi ganas, pengarah akan cuba elakkan.

“Seperti buat pura-pura sudah jatuh dan kru akan tolong saya sebab saya memang tidak boleh.

“Saya juga sudah sedia ubat, bila saya sudah mula sedikit rasa sakit, saya akan cepat-cepat makan ubat. Saya pula orang yang tidak suka makan ubat. Tapi kalau sakit sangat, baru saya akan makan,” ujarnya.

Ayda berkata, dia akan memberikan masa untuk berehat dan menjalani rawatan fisioterapinya seperti biasa selepas selesai komitmen lakonannya dalam masa terdekat.

“Insya-Allah lepas habis semua penggambaran ini, saya janji akan sambung semula terapi,” katanya.

Terdahulu, Ayda pernah disahkan menghidap masalah tulang belakang tergelincir dan pernah menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan swasta pada Mei lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN