PETALING JAYA: Pelakon, Atikah Suhaime mengakui puteri sulungnya, Lyla Mulan Teh, ‘high demand’ yang memerlukan perhatian penuh.
Pemilik nama lengkap Nur Atikah Mohd. Suhaime berkata, dia baru menyedari sikap anaknya itu semasa pulang ke Singapura baru-baru ini.
Katanya, ketiadaan pembantu rumah ketika itu membuatkan dia buat pertama kalinya terpaksa menguruskan anaknya sendirian.
“Saya sangka bayi saya ini senang dijaga. Dalam video, semua orang seronok tengok dia diam sahaja ketika orang tengah buat ‘review’.
“Tapi sebenarnya, saya boleh katakan yang dia seorang bayi yang ‘high demand’,” katanya di TikTok.
Tambah Atikah, Mulan terbiasa dijaga pengasuh yang sentiasa berada di sisinya sejak lahir. Justeru, bayinya itu enggan ditinggalkan walaupun sekejap.
“Dia tak mahu ditinggalkan sekejap atas katil kerana biasa ditemani pengasuh sepanjang masa. Jadi, pengasuh akan terus tenteramkan anak saya setiap kali dia menangis.
“Dia menangis macam kena dera. Sebab itu saya kena terus ambil dia, tidak boleh dibiarkan. Betul-betul ‘big bos’,” katanya berseloroh.
Dalam pada itu, Atikah turut mendedahkan ibunya juga terpaksa mendukung cucu kesayangannya setiap masa kerana Mulan tidak mahu berenggang.
“Mak saya juga akan tolong jaga Lyla, dukung dia sambil jalan dalam rumah. Baru saya sedar macam ini rupanya telatah anak saya,” katanya.
Atikah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Datuk Luqman Teh pada 21 Januari tahun lalu. Pasangan itu dikurniakan cahaya mata yang dilahirkan pada 8 Mac lepas. – UTUSAN