ASEAN-Turkiye rakan strategik perjuang keamanan, keadilan global

ASEAN-Turkiye rakan strategik perjuang keamanan, keadilan global

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN dan Turkiye disifatkan sebagai rakan strategik dalam memperjuangkan multilateralisme, keamanan, kestabilan, kemakmuran, kesaksamaan, keadilan serta nilai-nilai kemanusiaan di peringkat global.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, nilai kebersamaan yang dikongsi kedua-dua pihak menjadi asas penting kepada kerjasama erat antara ASEAN dan Turkiye sekali gus memperkukuh komitmen terhadap keamanan sejagat.

Justeru katanya, hubungan yang sedia terjalin antara ASEAN dan Turkiye wajar terus diperkukuh dengan hala tuju yang jelas demi memberi manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua belah pihak.

“Sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang berprinsip dan bertanggungjawab, ASEAN dan Turkiye harus menyuarakan pendirian bersama dalam menyeru penyelesaian konflik secara aman dan adil di seluruh dunia.

“Ini termasuk situasi kritikal di Gaza yang perlu ditangani segera. Kita mesti menuntut supaya Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan.

“Kekebalan daripada tindakan telah mendorong Israel menyerang negara-negara lain. Jika dibiarkan, ia bakal menggugat kestabilan rantau dan global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pembukaan Mesyuarat Trilateral antara Malaysia, Turkiye dan Sekretariat ASEAN sempena Mesyuarat Menteri-

Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Perkongsian Dialog Sektor ASEAN-Turkiye yang diwujudkan sejak 2017 telah menyaksikan perkembangan kerjasama berterusan antara kedua-dua pihak khususnya dalam aspek keamanan, ketahanan ekonomi dan keterhubungan antara rakyat.

“Hari ini, kita berada di atas landasan kukuh yang merangkumi tiga tonggak utama Komuniti ASEAN. Rangka Kerja Kerjasama Praktikal (PCA) 2024–2028 memberi hala tuju strategik untuk mendalami kerjasama dalam bidang-bidang utama.

“Ini termasuk kerjasama politik dan keselamatan, perdagangan serta ekonomi digital, pendidikan, pengurusan bencana, dan pembangunan mampan,” katanya.

Dalam usaha memperkukuhkan lagi kerjasama strategik ini, Mohamad berkata, Malaysia mengalu-alukan peluasan bidang kerjasama melibatkan industri pertahanan dan pemindahan teknologi.

Katanya, hubungan ekonomi antara ASEAN dan Turkiye juga dijangka terus berkembang menerusi pelaksanaan Forum Perniagaan dan Pelaburan ASEAN-

Turkiye selain sokongan terhadap pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta kerjasama dalam bidang inovasi.

Menurut beliau, pengalaman Turkiye dalam bidang pentadbiran elektronik (e-governance) juga mampu dimanfaatkan bagi memperkukuh integrasi digital, mempelbagaikan rantaian bekalan dan membina daya tahan bersama dalam menghadapi cabaran geo-ekonomi semasa.

“Di peringkat sosio-budaya, inisiatif seperti Program Biasiswa Bersama Turkiye-ASEAN, latihan untuk diplomat ASEAN serta cadangan kerjasama dalam pendidikan teknikal dan vokasional serta pembangunan kemahiran digital akan mengukuhkan hubungan antara rakyat dan memupuk jaringan silang budaya yang berpanjangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN