KUALA LUMPUR: Indonesia menggesa ASEAN memperkukuh perpaduan dan menegaskan semula peranan utamanya dalam mempertahankan kestabilan serantau khususnya ketika ketegangan geopolitik yang semakin meruncing.
Menteri Luar Indonesia, Sugiono berkata, ASEAN wajar memainkan peranan utama dalam mengekalkan kestabilan serantau di samping menitikberatkan kepentingan perpaduan dan prinsip yang tidak boleh digugat.
“ASEAN perlu menegaskan peranannya sebagai peneraju kepada ketertiban serantau. Perpaduan dan peranan kepusatan tidak boleh dikompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sugiono menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang berlangsung di ibu negara, semalam.
Mesyuarat tersebut membincangkan pelbagai isu serantau termasuk krisis Myanmar, jenayah rentas sempadan, Laut China Selatan serta usaha melindungi rakyat ketika berlakunya konflik.
Sementara itu, Sugiono turut menggesa segala bentuk keganasan dihentikan supaya bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan segera kepada rakyat di negara itu.
Pada masa sama, beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan jenayah rentas sempadan khususnya melibatkan penipuan dalam talian yang menyumbang kepada isu pemerdagangan manusia dan penyeludupan dadah.
Mesyuarat itu turut mengalu-alukan kemajuan dalam rundingan Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan serta menegaskan semula komitmen untuk mempercepatkan rundingan berdasarkan garis panduan yang telah dipersetujui oleh ASEAN bagi mencapai hasil yang lebih bermakna dan berkesan.
“ASEAN mesti kekal komited dalam memuktamadkan COC yang substantif dan efektif serta diharapkan dapat membantu mengekalkan kestabilan maritim di Laut China Selatan,” katanya.
Dalam pada itu, Sugiono menekankan keperluan ASEAN untuk bersiap sedia melindungi rakyatnya di kawasan bergolak termasuk memanfaatkan garis panduan sedia ada bagi penyampaian bantuan kecemasan melalui misi-misi ASEAN di negara-negara terlibat.
Sesi tersebut diakhiri dengan penegasan semula terhadap tanggungjawab kolektif ASEAN untuk memastikan rantau ini kekal berdaya tahan, bersatu padu dan proaktif dalam membentuk ketertiban serantau yang aman dan stabil. – UTUSAN