KUALA LUMPUR: Kejohanan tinju, Asia Championship 2025 yang menggabungkan dunia sukan dan digital di dalam gelanggang bakal berlangsung pada 18 Oktober ini.
Menjanjikan pengalaman yang berbeza, penganjur, Datuk Abdul Rahman Soltan berkata, edisi kali ini turut menggabungkan gabungan artis, influencer dan atlet sebagai penyatuan semangat kesukanan.
“Asia Championship bukan sekadar satu pertembungan para peninju, tetapi satu pentas moden yang menyatukan semangat kesukanan dengan dunia digital.
“Kami mahu wujudkan satu budaya baharu di mana sukan bukan sahaja disaksikan, tetapi turut dikongsi, diikuti dan diraikan dalam alam media sosial,” katanya.
Dalam masa sama, setiap peserta perlu menjalani latihan khusus yang telah disediakan oleh pihak Asia Championship sebagai persiapan mental dan fizikal menjelang kejohanan.
“Semua peserta harus bersedia. Kami akan latih mereka bukan hanya untuk bertarung, tetapi juga membawa nilai-nilai disiplin, fokus dan tanggungjawab sebagai ikon sukan moden.
”Untuk edisi 2025, seramai 16 anak muda tempatan telah disahkan menyertai kejohanan dalamdua kategori dan pihak penganjur kini sedang dalam perbincangan untuk menambah kategori dan peserta yang berminat.
“Permohonan masih dibuka. Ini bukan semata-mata untuk cari siapa paling kuat, tetapi untuk membangunkan semangat sukan dan disiplin dalam kalangan anak muda kita,” jelasnya
Untuk info, Asia Championship 2025 dijangka menjadi medan baharu bagi mengangkat sukan tempur ke tahap lebih tinggi.
Kejohanan ini bukan sahaja tertumpu kepada prestasi, tetapi juga pengaruh digital, pengisian kandungan dan keterlibatan komuniti.-UTUSAN