Venezuela sedia isytihar darurat jika diserang AS - Utusan Malaysia

Venezuela sedia isytihar darurat jika diserang AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Kerajaan Venezuela memberi amaran akan mengisytiharkan darurat sekiranya Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ketenteraan terhadap negara itu, kata Naib Presiden, Delcy Rodríguez semalam.

Beliau menegaskan, serangan sedemikian bakal memberi kesan yang besar terhadap rantau berkenaan, sambil menolak dakwaan Washington siri serangan udara ke atas bot nelayan Venezuela baru-baru ini bertujuan membanteras kartel dadah.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh akibat serangan itu yang turut disokong dengan penempatan armada laut AS di Laut Caribbean.

Rodríguez menuduh pentadbiran Presiden Donald Trump berbohong kepada dunia dengan mendakwa operasi berkenaan berkaitan dengan pengedaran kokain dan fentanyl ke AS.

“Itu semua dusta besar. Sebenarnya, objektif utama mereka adalah merampas sumber minyak, gas, emas, mineral dan kekayaan biologi Venezuela yang menjadi buruan kuasa besar dalam era baharu ini,” katanya di Perhimpunan Agung Nasional.

Menurut beliau, sekiranya darurat diisytiharkan, Presiden Nicolás Maduro akan diberikan kuasa khas untuk menggerakkan angkatan tentera, menutup sempadan serta menempatkan tentera di semua infrastruktur strategik.

“Kami tidak akan sesekali menyerahkan tanah air kami, tidak akan sama sekali! Mereka yang menyokong serangan asing pula tidak layak dianggap sebagai warga Venezuela,” tegasnya.

Tindakan AS itu mencetuskan kecaman pemimpin Amerika Latin dan pakar undang-undang antarabangsa yang menyifatkan serangan udara terbabit sebagai pembunuhan luar undang-undang.

Bagaimanapun, laporan NBC News mendedahkan tentera AS kini sedang merangka pilihan operasi baharu termasuk kemungkinan serangan dron ke atas sasaran di Venezuela dalam beberapa minggu akan datang.

Penganalisis Crisis Group yang berpangkalan di Caracas, Phil Gunson, berkata walaupun serangan besar-besaran ke atas Istana Presiden Miraflores atau markas tentera dianggap kurang berkemungkinan, namun serangan berskala kecil di kawasan pedalaman Venezuela tidak dapat diketepikan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN