Artis atau pempengaruh, penting untuk kita jaga adab - Shiha Zikir - Utusan Malaysia

Artis atau pempengaruh, penting untuk kita jaga adab – Shiha Zikir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBENARNYA,  jarang sekali penyanyi dan pelakon bertubuh genit ini meluah rasa kurang senang terhadap sesuatu perkara atau isu membabitkan dirinya mahu pun mana-mana pihak. 

Itu bukan cara Shiha Zikir. Mengenali penyanyi berusia 38 tahun ini, Shiha bukan seperti mana-mana artis lain yang gemar menadah publisiti untuk kisah atau cerita bukan-bukan apa lagi yang berunsur kontroversi. 

Jika itu tujuan hidup selama bernafas sebagai seorang anak seni, sudah pasti sejak dari dahulu jalan itu yang dipilihnya dengan alasan, mana tahu diri boleh meroket popular. 

Bagaimanapun, barangkali benar-benar terasa hati dengan tindakan seorang figura awam yang dikenali dalam dunia penulisan buku,ia kemudiannya memaksa Shiha untuk meluahkannya di media sosial sehingga meraih perhatian empunya diri itu sendiri. 

Terus-terang, kata Shiha, dia secara peribadi selama ini amat mengagumi individu tersebut, namun hampa kerana tidak menyangka, gara-gara satu kenyataan berbaur kesombongan, individu itu seolah-olah telah ‘melondehkan’ sisi lain dirinya sendiri. 

“Dia menulis di platform media sosialnya, kononnya dia tak akan tegur mana-mana selebriti atau artis kerana baginya, tiada keperluan. Perkara itu, terus-terang, buat saya ‘turn-off’! 

“Bagi saya, sesiapa pun yang berada dalam dunia seni atau media sosial, harus bijak menjaga tingkah laku serta tahu menghormati orang lain. Tidak kira sama ada mereka dikenali atau tidak.

“Jangan hanya tengok orang yang kita kenal sahaja.  Kalau kita ini ada pengaruh, lagilah kita kena tunjuk contoh yang baik. Bila orang puji, sentyum, tegur, balaslah dengan penuh hormat. Bukan jawab macam acuh tak acuh,” katanya. 

KUALA LUMPUR 4 Julai 2025 – Sesi fotografi Shiha Zikir di Studio Media Mulia, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

Sebagai artis yang sudah lama bertapak dalam industri, Shiha mengakui dirinya juga tidak terkecuali daripada cabaran dan dugaan. 

Namun katanya, prinsip menghormati sesama manusia tidak seharusnya dilupakan hanya kerana sedikit populariti yang diraih.

“Orang pandang kita sebab kita dikenali. Sama ada kita jadi contoh baik atau tidak, semua bermula dengan sikap. Bagi saya, adab yang baik itu harus menjadi pegangan setiap individu. 

“Kalau kelakuan atau perangai ke laut waima awak kerja apa pun, tetap orang tak hormat kalau awak ada ‘attitude’. 

“Cuma, apabila awak dah pilih bidang yang dikenali ramai, kena pandai bawa diri. Hormat orang, barulah orang hormat awak balik sebab lumrah menjadi orang yang dikenali, apa pun orang akan perhati dan tengok,” tegasnya lagi.

Bercerita lanjut mengenai kejadian tempoh hari, Shiha bagaimanapun mengakui, dia kemudiannya menerima mesej peribadi daripada penulis buku terbabit yang meminta maaf atas kekhilafannya. 

Pun begitu, Shiha terpanggil untuk menegur berkenaan perkara ini kerana bimbang kelakuan seperti itu kemudiannya ditiru dan menjadi contoh tidak baik kepada orang lain. 

“Keprihatinan saya adalah supaya perkara ini tidak ditiru atau dicontohi oleh orang lain. Saya nak cakap yang kita ini jangan buat begitu pada orang. Kalaulah saya ini penulis buku, kalau orang lagi ramai datang tegur, lagi saya seronok. 

“Kita boleh kongsi dan sampaikan sesuatu yang bermanfaat kepada lebih ramai orang, sepatutnyalah. Pun begitu, saya tahu, tidak semua orang begitu. Ada yang sangat baik dan merendah diri walaupun mereka dikenali dan popular. 

“Ada banyak contoh tapi saya harap orang ramai ikutlah mana yang baik ya,”katanya.

KUALA LUMPUR 4 Julai 2025 – Sesi fotografi Shiha Zikir di Studio Media Mulia, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

Bercakap mengenai perkara ini, Shiha juga melihat kehadiran ramai kelompok pempengaruh yang kurang berpengalaman dalam menjaga peradaban hanya kerana merasa diri dikenali ramai. 

Benar, zaman mungkin telah beralih masa, dan ini adalah masa di mana golongan pempengaruh lebih mudah meraih perhatian lantaran semua orang memiliki media sosial masing-masing. 

Namun, Shiha akui bahawa, ada antara mereka memiliki kelemahan dari aspek komunikasi dan adab. 

Apa yang lebih mengejutkan, Shiha turut mendedahkan satu insiden lama melibatkan beberapa pempengaruh yang secara terang-terangan mempersenda dan memperlekehkan golongan artis. 

“Perkara itu berlaku di hadapan mata saya sendiri, dan kata-kata mereka cukup mengguris hati sebab saya sendiri dengar. Depan saya, mereka boleh kata, tak payahlah buat video dengan artis sekarang. Artis dah tak ada nilai. Sekarang zaman kita (influencer) pula. 

“Artis pula terhegeh-hegeh hendak cari kita. Mereka cakap sambil gelak-gelak. Ini memang berlaku depan saya tahu. Saya tengok dan dengar pun panas juga, tapi kita tak buat apa-apalah. 

“Sebab itu saya cakap, hal begini, ia bukan kerana kita nak salahkan golongan artiskah, pempengaruhkah. Ini semua berbalik kepada adab dan perangai. 

“Artis pun boleh jadi pempengaruh, sesiapa sahaja. Tetapi penting untuk kita jaga adab,”katanya. 

Ada kontroversi lagi ‘laju’

Selain itu, penyanyi kelahiran Pulau Pinang ini juga tidak menolak, seandainya seseorang figura awam itu mempunyai kontroversi, namanya pasti akan lebih mendapat perhatian umum dan keadaan itu sejak sekian lama sudah menjadi lumrah dalam industri seni. 

Keadaan itu menyebabkan dirinya terfikir, adakah perlu untuknya melakukan kontroversi semata-mata mahu meraih perhatian masyarakat? 

Namun, Shiha sedar, menjaga nama baik dalam industri seni itu adalah lebih afdal kerana tidak sanggup memusnahkan sesuatu yang mana prosesnya sudah cukup lama dibina. 

“Kalau kita tengok dalam industri sekarang, tak kisahlah bidang apa pun, siapa yang ada kontroversi, mesti jalan laju. Tak kisah kontroversi itu baik ke buruk, kalau ada cerita panas sikit, pasti trending, tular, orang pun bercakap. 

“Tapi kalau pilih jalan bersih, tak ada kontroversi, orang tak ambil tahu, view pun perlahan. Saya dari dulu memang nak elak kontroversi. Tapi itulah yang jadi cabarannya. Susah nak ’sampai’ kepada masyarakat sebab orang tahu saya tak ada kontroversi. 

“Tak macam artis lain yang hari-hari keluar artikel, ‘Oh dia ini yang buat hal itu’, ‘Oh dia gaduh dengan si polan’. Saya pula fikir biarlah orang kenal sebab lagu, bukan sebab hal-hal buruk. 

“Kadang-kadang rakan wartawan pun tak tahu nak temu bual saya isu apa sebab tak ada kontroversi, tak ada perkara sensasi,”katanya. 

KUALA LUMPUR 4 Julai 2025 – Sesi fotografi Shiha Zikir di Studio Media Mulia, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

Simpan rasa kecewa

Dalam pada itu, Shiha turut berkongsi rasa kecewa apabila melihat bagaimana masyarakat dan warganet cenderung menyokong dan memberi perhatian berlebihan kepada isu-isu yang sensasi, walaupun ia bersifat negatif.

“Kadang-kadang kecewa juga. Kenapa bila ada kontroversi, orang terus sokong? Hal itu akan dicontohi pula oleh pelapis baharu lain sebab acuan dalam industri itu begitu. 

“Bak kata oranglah, ‘Alahai, buatlah cerita sikit, kasi panas, barulah naik’. Tapi sampai bila kita nak main agenda macam itu?” tegasnya. 

Bagi Shiha,  prinsip adalah perkara yang tidak boleh dikompromi walau pun terpaksa menempuh laluan yang lebih sukar untuk dikenali ramai.

“Memang orang kata prinsip tak bawa makan. Tapi setakat ini, saya tetap nak pegang. Tak nak satu hari nanti orang kenal saya bukan sebab bakat, tapi sebab cerita buruk. Tak nak macam itu.

“Bagaimanapun, saya akui, perkara begini buat saya selalu sahaja berperang dengan diri sendiri. Mengganggu kesihatan mental? Iya. Sebab saya fikir, setiap apa yang kita buat, sebagai artis, kita keluarkan modal, contohnya buat lagu. 

“Kos tinggi, ibarat kita ini berniaga tapi tak ada orang datang beli, perasaan itu tak seronok. Kita buat lagu, orang tak sokong. Tapi, kadangkala bila saya luah begini, ada orang kata saya sebenarnya okey sahaja dari sudut kerjaya, tak ada apa yang hendak dirisaukan,”katanya. 

Luah Shiha lagi, dia bukannya seorang individu yang tidak pandai mensyukuri nikmat yang Allah SWT berikan, namun sebolehnya dia berharap orang ramai dapat memberikan sokongan terhadap kerjaya seninya. 

“Sebab itu saya hendak elak daripada sikap membanding-bandingkan dengan orang lain. Iyalah, sekurang-kurangnya saya kekal ada dalam industri seni ini daripada saya nak putus asa. 

“Hati saya memang dalam industri seni ini. Kalau tak ada buat apa-apa pun, saya tetap nak buat lagu. Ini pun dah rancang macam-macam dah untuk projek seterusnya,”katanya. 

KUALA LUMPUR 4 Julai 2025 – Sesi fotografi Shiha Zikir di Studio Media Mulia, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

Mat Over, Suratan kebetulan

Melanjutkan perbualan kepada kisah lagu terbaharunya yang diberi judul Renjana, Shiha mengakui, sebahagian besar ilhamnya lahir daripada pengalaman sendiri. 

Lagu Renjana adalah antara yang paling peribadi baginya, hasil daripada kenangan yang masih segar, dan emosi yang belum benar-benar reda.

Malah, disebabkan sangat peribadi, Shiha mengakui kerana itu jua dia memilih pelakon senior, Mat Over atau Sulaiman Yassin, untuk melakonkan watak sebagai Allahyarham bapanya dalam video muzik Renjana. 

“Sejak kecil, saya selalu cakap dengan emak, Mat Over punyai paras yang sama macam arwah abah saya. Semasa saya pertama kali bertemu di set, perkara pertama saya buat adalah meminta maaf dan minta izin dengannya untuk peluk. 

“Saya peluk Mat Over, menangis, sebab rasa macam peluk arwah abah. Tiba-tiba dia pun menangis, isteri dan anaknya yang menemani turut menangis tengok kami. Saya tak tahu kenapa mereka menangis. 

“Rupa-rupanya, kami kongsi kisah sama. Saya menangis kerana tengok Mat Over macam arwah abah, mereka menangis kerana saya mempunyai paras serupa dengan salah seorang anaknya yang telah meninggal dunia,”katanya. 

Kongsi Shiha, sepanjang penggambaran video muzik Renjana, dia tidak dapat menahan air mata setiap kali menatap wajah Mat Over lantaran terlalu merindukan arwah ayahnya. 

“Memang susah. Untuk Renjana ini memang banyak halangan emosi untuk saya, bermula daripada proses menulis dan merakam lagu, sehinggalah menghasilkan video muzik. 

“Tambahan pula, setiap babak dalam mv itu saya yang susun dan ia memang berdasarkan kisah benar. Saya tak mahu menangis pun, tetapi air mata memang jatuh sendirinya setiap kali. 

“Kalau nak tahu, saya bersyukur sangat, kerana disebabkan kisah kami ini, Mat Over izinkan saya panggil dirinya abah. 

“Jadi sejak hari itu, kami selalu berhubung dan selalu kongsi ‘update’, hari ini dia berada di mana dan sebagainya. Saya bersyukur sangat sebab Allah aturkan semua ini untuk saya,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN