KUANTAN: Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup mendahului senarai 58 penerima darjah kebesaran dan pingat yang dikurniakan sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Sultan Pahang, hari ini.
Beliau adalah antara 16 individu yang menerima Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Dimulia – Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu disempurnakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Balai Mahkota, Istana Abdul Aziz, di sini.
Turut berangkat ke istiadat berkenaan ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Antara penerima SSAP lain ialah Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar; Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Beberapa tokoh korporat dan penjawat awam kanan turut menerima darjah sama termasuk Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Seri Mohd. Mustafa Abdul Aziz; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli.
Dalam istiadat sama, tiga individu dianugerahkan Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera, manakala 26 individu menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.
Antaranya ialah Mufti Negeri Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim; Ketua Jabatan Kardiologi IJN, Datuk Seri Dr. Azmee Mohd. Ghazi serta Panglima Wilayah Udara 2, Mejar Jeneral Datuk Norli Hisham Alwi.
Empat penerima turut dikurniakan Darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP) termasuk Naib Ketua Pemuda UMNO Pahang, Wan Azam Wan Rosdy dan Ketua MIC Bahagian Pekan, Subramaniam Nagappan. – UTUSAN