MARANG: Hasrat seorang bapa menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama anak sulungnya buat pertama kali tidak kesampaian apabila bayi lelaki berusia empat bulan itu maut dipercayai akibat didera di sebuah pusat jagaan di Pulau Pinang, semalam.
Mohd. Syafaeez Mat Liki, 35, berkata, dia dikejutkan dengan panggilan telefon daripada pihak taska kira-kira pukul 4 pagi yang memaklumkan anaknya, Hayl Haarith lemas ketika tidur.
Katanya, pada malam sebelum kejadian, anaknya dalam keadaan sihat sebelum isterinya, Ummu Habibah Wahab, 30, masuk bertugas sebagai jururawat.
Bagaimanapun, sekitar pukul 5.40 pagi isterinya memaklumkan bahawa bayi mereka sudah meninggal dunia.
“Malam sebelum kejadian saya sempat membuat panggilan video bersama Hayl Haarith. Tak sangka itu adalah yang terakhir sebelum saya berpisah dengan anak buat selama-lamanya.
Saya ingat kematian biasa tetapi selepas bedah siasat, terdapat beberapa kesan kecederaan yang mencurigakan di bahagian kepala, mata, hidung dan kanan muka.
“Selain itu, terdapat luka pada kulit kepala yang seolah-olah terkena hentakan objek tumpul,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelulut dan Rhu Redang, di sini, hari ini.
Jenazah Hayl Haarith selamat dikebumikan di tanah perkuburan kira-kira pukul 10 pagi ini.
Mohd. Syafaeez yang bekerja sebagai peniaga di negeri ini berkata, dia tidak akan memaafkan individu yang bertanggungjawab ke atas kematian anaknya itu.
“Saya sama sekali tidak memaafkan perbuatan tu sebab ia tidak berperikemanusiaan dan saya berikrar menuntut keadilan agar nasib sama tidak menimpa keluarga lain,” katanya.
Dia turut menyatakan rasa terkilan kerana tidak sempat membawa anak dan isterinya membeli pakaian baharu bagi menyambut Aidilfitri nanti.
Terdahulu, media melaporkan, seorang bayi meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah pusat jagaan kanak-kanak 24 jam yang terletak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya di Pulau Pinang.
Kes tersebut kini dalam siasatan pihak berkuasa selepas keluarga bayi berkenaan mendakwa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pusat jagaan itu menunjukkan terdapat unsur penderaan terhadap mangsa. – UTUSAN










