PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan agar Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 tahun terus dikurniakan kesejahteraan, ketenangan jiwa dan kekuatan tubuh dalam menjalani kehidupan dengan penuh makna.
Perdana Menteri berkata, Dr. Mahathir memiliki gaya hidup sihat serta amal bakti tidak pernah terhenti kini menjadi teladan kepada sebuah negara yang sedang menua, namun tetap punya harapan yang tinggi.
“Selamat menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-100 kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya dan Azizah mendoakan setulusnya agar Tun terus dikurniakan kesejahteraan, ketenangan jiwa, dan kekuatan tubuh dalam menjalani kehidupan dengan penuh makna.
“Gaya hidup sihat serta amal bakti yang tidak pernah terhenti menjadi teladan kepada sebuah negara yang sedang menua, namun tetap punya harapan yang tinggi.
“Semoga Allah SWT terus merahmati Tun, Insya-Allah,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Dr. Mahathir menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada hari ini.
Negarawan itu sekali gus mencipta rekod sebagai bekas Perdana Menteri Tertua Masih Hidup.
Beliau dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah pernah menjadi Perdana Menteri yang keempat pada 16 Julai 1981 iaitu paling lama mentadbir negara iaitu selama 22 tahun.
Pada 2018, setelah gabungan politik beliau memenangi pilihan raya ke-14 (PRU14), Dr Mahathir dilantik sekali lagi sebagai Perdana Menteri yang ketujuh.-UTUSAN











