PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menangguhkan segala prosiding berkaitan saman oleh Muhammed Yusoff Rawther berhubung dakwaan serangan seksual di Mahkamah Tinggi sehingga rayuannya didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Ia selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali yang bersidang bersama-sama Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Lim Hock Leng sebulat suara membenarkan permohonan penggantungan tersebut.
“Berhubung permohonan penggantungan, kami dapati penggantungan perlu diberikan kerana terdapat keadaan istimewa. Sekiranya penggantungan tidak diberikan, rayuan yang difailkan (Anwar) akan menjadi sia-sia.
“Selain itu, kami mendapati tidak timbul sebarang rejudis kepada mana-mana pihak sekiranya penggantungan prosiding dibenarkan,” kata Hakim Che Mohd. Ruzima.
Panel terbabit turut menyatakan, pihak-pihak boleh memohon tarikh awal untuk pendengaran rayuan tersebut memandangkan Mahkamah Tinggi sebelum ini telah menetapkan 2 September ini untuk pengurusan kes saman terbabit untuk menetapkan tarikh perbicaraan kes saman itu.
Pada prosiding hari ini, Anwar diwakili peguam Alan Wong Teck Wei dan Datuk Seri Rajasegaran S. Krishnan manakala Muhammed Yusoff diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Kes saman terbabit sepatutnya mula dibicarakan pada 16 Jun lalu namun terhenti selepas Anwar berjaya mendapatkan penangguhan sementara.
Rayuan yang difailkan oleh Anwar adalah berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan ke Mahkamah Persekutuan berhubung kekebalan seorang Perdana Menteri daripada sebarang tindakan saman sivil.
Pada 4 Jun lalu, Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan untuk merujuk persoalan-persoalan itu atas alasan permohonan terbabit tidak mengandungi sebarang isu yang membolehkan ia dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Selain itu, hakim itu turut menyifatkan tindakan itu bertujuan mencipta kekebalan baharu yang tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan.
Anwar memfailkan permohonan untuk merujuk beberapa persoalan antaranya sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi Perdana Menteri kekebalan bersyarat daripada saman sivil.
Anwar turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Tambun itu juga mahu mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar hak beliau untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang, seperti diperuntukkan dalam Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan, terutamanya kerana beliau mendakwa saman tersebut merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
Muhammed Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021 selepas mendakwa diserang secara seksual di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.
Serangan seksual itu didakwa berlaku pada Julai 2021 iaitu hampir dua tahun sebelum Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada November 2022.-UTUSAN