KUALA LUMPUR: Terus mencipta fenomena luar biasa, komposer dan penyanyi terkenal, Datuk M Nasir sekali lagi tampil dengan Konsert Datuk M N46IR Cipta 3 di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 27 September ini.
Menurut M Nasir, kemunculan semulanya di pentas gah itu kali ini turut membawakan tema yang berbeza dengan mengangkat lagu-lagu rock hasil ciptaannya sendiri.
“Persembahan kali ini sudah tentu berbeza berbanding siri konsert Cipta sebelum ini. Kali ini saya akan persembahkan lagu-lagu rock yang saya pernah hasilkan.
“Mungkin ada juga lagu yang bukan rock kita gubah menjadi genre tersebut. Seperti yang kita tahu, genre rock ini ada pelbagai, mungkin akan ada elemen rock moden dan sebagainya,” katanya.
M Nasir berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Datuk M N46IR Cipta 3 pada Isnin.
Ditanya mengenai persediaannya menjelang konsert yang berbaki dua bulan lagi, penyanyi lagu Hati Emas itu memaklumkan dirinya sentiasa mengutamakan kesihatan dan menjaga pemakanan yang sihat.
“Sudah tentu saya perlu membuat persedian dari kesihatan dan menjaga pemakanan. Mestilah ada pantang larangnya dan saya perlu menjaga apa yang perlu dijaga seperti makan terlalu banyak atau elak daripada buat perkara yang tidak biasa dilakukan.
“Saya tidak hairan tentang persediaan ini kerana saya sentiasa bersedia. Tetapi saya takut jika penonton yang tidak bersedia untuk melihat saya menyanyi lagu rock,” selorohnya.
Tambah Iman Tang selaku penganjur dan pengasas, Icon Entertainment, dia yakin penonton tidak akan bosan dengan persembahan maestro itu yang banyak menghasilkan lagu-lagu rock popular tanah air.
“Penonton tidak akan rasa membazir untuk melaburkan duit untuk konsert Cipta 3 ini kerana karisma sang lagenda Datuk M Nasir begitu luar biasa.
“Konsep Malam Ini Gua Rock juga begitu sinonim dengan beliau yang telah banyak mencipta lagu rock popular tanah air sehingga harum di seluruh Nusantara.
“Jadi ini adalah peluang terbaik untuk penonton menikmayi M Nasir dengan Malam Ini Gua Rock yang belum pernah beliau pamerkan dalam konsert-konsert sebelum ini,” jelasnya.
Orang ramai boleh mula membeli tiket Konsert Datuk M N46IR Cipta 3 bermula 4 Julai ini menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my/mnasircipta3.-UTUSAN