PETALING JAYA: RENN Asia Wellness, jenama tempatan dalam bidang Perubatan Nutrisi dan Fungsian (NFM), terajui kerjasama Malaysia-China menerusi pembukaan sebuah pusat perubatan NFM baharu di sini pada Jumaat, 19 Disember, yang dihadiri wakil dari kedua-dua negara.
Berpusat di Kuala Lumpur, RENN Asia kini melangkah ke pasaran China melalui kerjasama dengan Jian Shi Tang (JST) dari Guangzhou bagi mengendalikan sebuah pusat perubatan Nutrisi dan Fungsian yang pertama di Leatop Plaza, Daerah Tianhe, Guangzhou. Pusat ini bakal mengadaptasi rangka kerja klinikal perubatan NFM yang dibangunkan di Malaysia.
Perjanjian kerjasama yang dimeterai pada Jumaat lalu antara Pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif RENN Asia, Jonathan Chew, dan Pengasas JST, Zhang Chu Guang, menetapkan peranan RENN Asia dalam menyediakan kepakaran klinikal, reka bentuk program serta protokol operasi kepada JST.
Majlis berkenaan disaksikan oleh Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Nutrisi dan Fungsian Malaysia (ANFMP), Prof. Datuk Seri Steve Yap, serta dihadiri ahli akademik terkemuka dari Guangzhou, komuniti perubatan tempatan dan jemputan daripada komuniti Malaysia di Guangzhou.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE Guangzhou, Farhana Kamaruddin, sebagai tanda komitmen Malaysia dalam memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam sektor kesihatan dan kesejahteraan.
Kerjasama ini menjadikan Malaysia antara negara terawal membawa masuk model pengurusan penyakit kronik menyeluruh ke China, yang bermula dengan rawatan diabetes.
China kini antara negara dengan kadar diabetes tertinggi di dunia, di mana lebih 140 juta orang dewasa menghidap diabetes. Peningkatan komplikasi dan kos rawatan menjadikan pendekatan pencegahan serta perubatan fungsian semakin penting untuk mengawal peningkatan angka diabetes dalam jangka panjang.
Walaupun pelbagai inisiatif nasional telah dilaksanakan, jurang masih wujud dalam model pencegahan dan perubatan fungsian, terutamanya pendekatan yang menggabungkan pemakanan, pengenalpastian punca penyakit, perubatan berasaskan gaya hidup, diagnostik yang diperibadikan dan pemantauan berterusan. Pengenalan rangka kerja NFM yang dibangunkan di Malaysia dilihat melengkapi reformasi sistem kesihatan China.
Inisiatif NFM yang diterajui Malaysia ini menawarkan pendekatan berstruktur yang menumpukan kepada punca penyakit. Ia menekankan penilaian individu, intervensi nutrisi dan gaya hidup, pengoptimuman metabolik serta pencegahan, untuk menstabilkan dan membaik pulih metabolik yang menjadi punca utama penyakit kronik.
Chew berkata, kehadiran Yap sebagai pakar NFM terkemuka di Malaysia mengukuhkan kredibiliti rangka kerja ini, sekaligus memberi keyakinan bahawa ia boleh dikembangkan di peringkat serantau.
Yap mengulas: “Salah satu pasaran kesihatan terbesar dunia kini menggunakan rangka kerja NFM yang dibangunkan di Malaysia. Pencapaian ini membuktikan kepakaran tempatan Malaysia boleh memberi manfaat kepada negara lain.”
Selain menyediakan protokol dan reka bentuk program NFM, RENN Asia turut menempatkan pengamal perubatan berpengalaman dari Malaysia sebagai penasihat sepanjang fasa pelaksanaan awal. Ini bagi memastikan pusat beroperasi mengikut piawaian menyeluruh yang dibangunkan di Malaysia daripada pengalaman klinikal bertahun-tahun.
“Kejayaan membawa rangka kerja NFM Malaysia ke China membuktikan kemampuan kami menyediakan penyelesaian kesihatan yang praktikal di peringkat antarabangsa,” kata Chew.
“Matlamat kami adalah membantu JST membangunkan sistem yang mampan untuk meningkatkan kesihatan komuniti di Guangzhou dan seterusnya di seluruh China,” tambah beliau.
Bagi JST, kerjasama ini membuka peluang strategik untuk memimpin perubahan dalam pengurusan penyakit kronik di Guangzhou.
“Rangka kerja NFM RENN Asia mempunyai potensi besar. Pendekatannya yang menekankan penilaian kesihatan individu dan rawatan yang menumpukan kepada punca penyakit, sejajar dengan hala tuju penjagaan kesihatan di China,” kata ketua pengamal perubatan JST, Dr Dai Qi Ming.
“Bermula dengan rawatan diabetes, kami mahu meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup penerima rawatan,” tambah beliau.
Kedua-dua pihak merancang untuk meluaskan kerjasama ini kepada penyakit kronik lain selepas program diabetes ini menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Antara rawatan penyakit yang disasarkan ialah penyakit jantung dan saluran darah, masalah berkaitan hati dan metabolik, ketidakseimbangan hormon, serta penyakit alahan yang semakin membebankan sistem kesihatan di China.
Kolaborasi ini bertujuan memberi manfaat jangka panjang dengan mengurangkan komplikasi penyakit, menurunkan kos rawatan, serta meningkatkan kualiti hidup dan keupayaan berdikari penerima rawatan. Melalui kerjasama ini, Malaysia menyumbang kepakaran, ilmu perubatan NFM, melatih tenaga profesional, dan memperkenalkan inovasi dalam sektor kesihatan serantau. – UTUSAN










