Anggota APM maut nahas sempat tolong mangsa kemalangan

Anggota APM maut nahas sempat tolong mangsa kemalangan

NUR Aina Tasmin Abdullah (kiri) di samping ibunya, Aniza Mohd Taib menunjukkan gambar abang kembarnya, Muhammad Armin yang meninggal dunia setelah terlibat kemalangan ketika ditemui di Hospital Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling yang menerima rawatan akibat kemalangan jalan raya di Batu 42, di sini kelmarin dilaporkan meninggal dunia pada hari ini. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Muhammad Armin Abdullah, 22, yang pada awalnya berada dalam keadaan stabil menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5 pagi setelah dia dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Baling.

Dalam kemalangan pada petang Ahad, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja menaiki motosikal miliknya sebelum bertembung dengan sebuah kereta di lokasi kejadian.

Ibunya, Aniza Mohd. Taib, 49, berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu sempat membantu seorang mangsa kemalangan lain di Kampung Sungai Limau, sebelum itu.

“Ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, dia pula terlibat kemalangan di hadapan sebuah stesen minyak di Batu 42. Dalam nahas itu, dia hanya patah tangan dan kaki kirinya sahaja, tak sangka pula Armin meninggal dunia kira-kira pukul 5 pagi tadi,” katanya.

Aniza mengakui terkejut dengan pemergian Muhammad Armin kerana anaknya masih boleh bercakap dan membalas pesanan ringkas melalui telefon bimbitnya meskipun sedang terlantar di wad.

“Tiada perubahan yang ditunjuk oleh Armin, tetapi sejak akhir-akhir ini dia rajin tolong kawan-kawan sepasukannya dalam APM membantu mangsa-mangsa kemalangan dan juga aktiviti lain walaupun tidak bertugas pada hari itu.

“Selepas bantu mangsa kemalangan pada petang itu, dia singgah di rumah yang jaraknya tak sampai satu kilometer untuk bersalaman dan meminta izin saya keluar semula untuk pergi bertugas, kemudian tak sampai lima minit penduduk beritahu dia kemalangan,” katanya.

Sementara itu, adik kembar Armin, Nur Aina Tasmin berkata, dia juga sempat berbalas pesanan mesej melalui telefon bimbit serta meminta abangnya bersabar menunggu kepulangannya.

“Tidak sangka pagi tadi abang pergi buat selama-lamanya, terasa baharu sahaja saya minta dia sabar menunggu saya dan abang hanya membalas ‘ya’, tapi saya pulang hanya melihat jasadnya yang terbujur kaku,” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Baling, (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz, berkata, mereka kehilangan seorang anggota yang rajin dan berdedikasi serta berdisiplin, ceria dan sentiasa membantu kawan-kawan serta disenangi semua pihak.

“Ketika kemalangan, Armin dalam perjalanan ke tempat program kayuhan kayak APM Kedah bersama Kelab Media Elit Kedah (KMEK) untuk menyimpan kayak dan segala peralatan yang digunakan. Keadaannya menjadi kritikal pada pukul 3 petang semalam apabila tekanan oksigen turun mendadak dan terpaksa dibawa ke ICU,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN