Mengapa Johor lebih agresif promosi Tioman?

ANALISIS: Mengapa Johor lebih agresif promosi Tioman?

PULAU Tioman memiliki potensi luar biasa untuk dimartabatkan sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa setanding Pulau Langkawi. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU Tioman yang terletak di pesisir Pantai Timur Semenanjung Malaysia sudah lama dikenali sebagai antara pulau tercantik di dunia. Namun, sehingga kini usaha promosi dan pembangunan strategik yang menyeluruh belum dilaksanakan sepenuhnya di situ.

Pulau tersebut pernah dise­naraikan oleh TIME Magazine sebagai destinasi utama pada 1970 dan merupakan taman marin yang kaya dengan biodiversiti, menjadikannya lokasi pilihan pelancong untuk aktiviti seperti selam skuba, bersnorkel (snorkeling) dan jejak hutan.

Penduduk mendakwa, Pulau Tioman masih bergelut de­ngan pelbagai cabaran termasuk kekurangan promosi domestik, masalah akses pengangkutan dan persaingan tidak seimbang antara komuniti tempatan serta operator luar.

“Kita minta dan harap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya masuk ke Pulau Tioman dan tingkatkan promosi. Tioman masih ketinggalan sudut promosi jika dibandingkan dengan destinasi popular seperti Pulau Langkawi dan Sabah.

“Tioman masih tidak mempunyai kempen pemasaran ber­skala besar yang mampu menarik pelancong domestik dan antarabangsa,” luah Ali Daud, 40, penduduk Kampung Juara.

Timbul persoalan dalam kalangan penduduk berhubung promosi pelancongan Johor yang dilihat lebih agresif dan tersusun. Negeri itu memanfaatkan kedudukan strategik Mersing sebagai hab pelanco­ngan dengan promosi tiket feri, diskaun dan kemudahan tempahan secara dalam talian.

Ini menjadikan Johor kelihatan lebih proaktif dalam menarik pelancong ke Tioman, walaupun pulau tersebut bukan miliknya.

Tanpa strategi promosi yang seimbang dari Pahang, Johor berpotensi menguasai naratif pelancongan Tioman. Ini boleh menjejaskan peluang ekonomi tempatan di Pahang, terutama daripada segi pelaburan, pembangunan infrastruktur dan pengiktirafan wilayah.

Selain promosi, isu pengangkutan dan akses ke pulau turut menjadi halangan. Harga tiket feri yang mahal dan kekura­ngan kemudahan seperti stesen mi­nyak memberi kesan kepada penduduk tempatan dan pengusaha pelancongan.

Jadi, sudah sampai masanya kerajaan negeri menerusi Tou­rism Pahang dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengambil pendekatan yang lebih bersepadu dalam memperkasa Pulau Tioman sebagai ikon pelancongan negara yang ikonik.

Cadangan termasuk pembinaan jeti baharu, pelancaran kempen promosi digital berskala besar dan program pe­ningkatan keupayaan komuniti bagi memastikan penglibatan aktif penduduk tempatan dalam ekonomi pelancongan.

Pembangunan yang bersifat lestari dan inklusif dilihat sebagai jalan terbaik untuk memastikan warisan alam dan budaya pulau ini terus terpelihara, di samping memperkukuh sektor ekonomi negeri menerusi pelancongan.

Pulau Tioman bukan sahaja aset Pahang, bahkan wajar diangkat sebagai lambang warisan pelancongan negara yang memerlukan sokongan strategik dan tindakan yang segera daripada semua pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN