Anak mahu terjun bangunan, tertekan didera sindiket scam

Anak mahu terjun bangunan, tertekan didera sindiket scam

AIN menunjukkan perbualan dia dengan anak perempuannya yang menjadi mangsa penipuan di Poipet, sempadan Thailand-Kemboja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang gadis untuk bekerja di Singapura selepas menamatkan pengajian peringkat diploma dalam bidang sains pengurusan pejabat bertukar mimpi ngeri apabila menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Poipet, sempadan Thailand-Kemboja.

Mangsa yang berusia 21 tahun berasal dari Johor Bahru, Johor itu mengalami tekanan mental melampau sehingga menyatakan hasrat untuk terjun dari bangunan akibat tidak tahan dengan penderaan mental oleh sindiket.

Ibu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Ain, 42, berkata, pada awalnya mangsa memaklumkan mahu bekerja di Singapura.

Katanya, namun dia dipercayai dipujuk oleh seorang kenalan kepada rakan mangsa untuk jalan-jalan ke Thailand sementara menunggu kema­sukan kerja di Singapura.

Ain berkata, tanpa disedari, anaknya telah diseludup ma­suk ke Kemboja dan dipaksa bekerja di sebuah syarikat pe­nipuan dalam talian.

“Kami sekeluarga tak tahu dia dah sampai Kemboja. Dia kata dia di Thailand sahaja. Tapi, bila mula hantar mesej minta tolong dan menyatakan tekanan mental yang dialami, baru kami sedar perkara sebenar.

“Dia cakap dia tak tahan, dia cakap nak terjun bangunan,” katanya dalam sidang akhbar anjuran Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat An­tarabangsa Malaysia (MHO) di sini, semalam.

Sejak Disember 2024, mangsa dipercayai dikurung dengan hanya dibenarkan keluar bilik mengikut waktu ditetapkan manakala satu-satunya makanan yang berani dimakan ialah mi segera.

Sindiket turut mengugut untuk menjual mangsa kepada sindiket lain di Laos, jika dia ingin pulang ke tanah air.

Sementara itu, Setiausaha MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kes itu menunjukkan betapa seriusnya ancaman sindiket pemerdagangan manusia yang terus beroperasi secara agresif di rantau Asia Tenggara.

“Anak gadis ini bukan calang-calang, dia lulusan diploma, bercita-cita tinggi dan hanya mahu pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan. Tapi akhirnya dia ditipu, dipergunakan dan kini mengalami trauma yang teruk.

“Sindiket ini sangat licik. Bila media dedahkan, barulah sindiket takut dan ada yang lepaskan mangsa kerana mereka tahu kita hantar maklumat kepada Kedutaan Malaysia di Kemboja dan juga kepada pasukan khas anti pemerdagangan manusia di sana,” katanya.

Hishamuddin berkata, laporan polis telah dibuat pada 21 Mac 2025 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Johor, namun mangsa belum dapat dibebaskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×