PETALING JAYA: Anak kedua kepada pelakon Dharma Harun iaitu Muhammad Al Syafiq mengakui kecaman yang diterima di media sosial mendakwa dia bergantung hidup kepada bapa membuat dia paranoid untuk bertemu orang ramai.
Jelas Syafiq, sejak berita mengenai masalah kewangan keluarganya mendapat perhatian, dia akan memakai topeng muka apabila mahu keluar rumah bagi mengelak daripada dikenali.
“Sebenarnya saya dan kakak takut setiap kali mahu keluar rumah kalau-kalau ada yang baling tin macam dalam filem Superman. Kadangkala kalau keluar rumah saya pakai topi, cermin mata dan topeng muka supaya tidak dikenali.
“Orang di luar sana tidak faham situasi kami alami. Bila saya fikir, kisah saya lebih kurang Nabi Muhammad di mana orang tidak tahu dan fitnah sedangkan saya tidak buat pun perkara itu.
“Kalau mahu diikutkan, jika berdiam, perkara itu lebih mulia dan ikhlas. Cuma saya terpaksa bersuara apabila perkara ini sudah memberi kesan kepada pelajaran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Jelas Syafiq, sepanjang bapanya sakit, dia melakukan pelbagai kerja termasuklah berulang-alik ke Melaka untuk melakukan penggambaran.
“Saya buat kerja seagai barista dan jadi pelakon tambahan. Boleh tengok kemunculan saya dalam video muzik Nuri Terbang Malam. Saya pernah ulang-alik dari Melaka ke Kuala Lumpur untuk penggambaran.
“Pagi saya jalani penggambaran di Melaka, kemudian pulang ke Kuala Lumpur hadiri peperiksaan dan kembali semula ke Melaka menaiki bas. Saya lakukan itu semua tapi perkara itu tidak saya ceritakan,” tambahnya.
Jelasnya lagi, kecaman itu tidak hanya memberi kesan kepada dirinya, malah situasi serupa turut dilalui kakaknya, Siti Qurratu Aini, 37.
“Kakak saya tidak keluar langsung sebab takut. Sedangkan dia juga buat kerja sambilan. Cuma Alhamdulillah, setakat ini tiada yang buat serangan fizikal cuma setakat komen di media sosial sahaja.
“Saya juga tidak tahu di mana datangnya akaun tidak dikenali yang komen kecaman. Sebab tiada gambar profil.
“Apapun saya bersyukur kerana masih dikelilingi orang baik contohnya orang di surau yang berikan sedekah tiba-tiba. Saya sangat terharu dan bersyukur,” tambahnya. -UTUSAN