SEPANG : Pelakon dan pelawak Along Cham,42, tampil mengemukakan tiga perkara yang menjadi punca dia menjatuhkan lafaz taklik terhadap isterinya iaitu Afreena Suhaimi pada Julai tahun lalu di rumahnya iaitu di Cyberjaya..
Menurut Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, lafaz taklik tersebut jatuh selepas isterinya melanggar amaran dan syarat yang dilafazkan.
“Amarannya adalah jika awak berhubung dengan bekas isteri saya, kongsi lokasi sekolah anak, maka jatuh talak 1. Dia kongsikan lokasi sekolah anak saya.
“Dia hubungi bekas isteri, dia cari Zila dengan alasan naluri sebagai seorang ibu. Saya sudah beri amaran banyak kali, tetapi dia tetap mencari. Sedangkan anak kandung sendiri dia tidak mengaku anak.
“Saya difahamkan mereka berhubung sejak Jun 2024. Tidak tahu apa niat dia, berkemungkinan sebagai pemberi maklumat,” katanya.
Along memaklumkan perkara itu dihadapan Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Muhamad Nazri Basrawi semasa sesi soal jawab bersama penguamnya iaitu Muhammad Akmal Amzan, hari ini.
Selain itu, Along juga memaklumkan dua perkara lain adalah berlaku curang dan membelakangkannya sebagai suami dalam apa sahaja urusan.
“Curang itu adalah menipu saya. Dan saya ada bukti dia curang. Dia juga selalu buat keputusan sendiri tanpa pengetahuan saya.
“Semua perkara tersebut berlaku, dan saya ada bukti. Saya tidak mahu kemukakan bukti awal sebab nanti defanden (Afreena) serang mereka,” ujarnya.
Dalam masa sama, pihak Along juga ada mengemukan bukti rakaman audio yang mengatakan Afreena sedar bahawa mereka sudah pun rujuk.
“Ya dia tahu (sudah rujuk) dan dia sudah maklumkan kepada sababat baik dan sekeliling dia. Saya ada bukti (rakaman audio),” ujarnya.
Mahkamah menetapkan 3 Julai merupakan tarikh sebutan semula bagi tuntutan pengesahan lafaz cerai.
Terdahulu, Afreena mendedahkan rumah tangga mereka sudah mempunyai masalah sejak dua bulan berkahwin. Sebelum ini, Afreena mendakwa pernah berlaku lafaz cerai di luar mahkamah pada Julai tahun lalu.
Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu. Ini juga perkahwinan kedua Along selepas bercerai dengan bekas isteri, Zila Saeron pada September 2016.
Hasil perkongsian hidup, Along dikurniakan anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah jagaannya.-UTUSAN