SEPANG: Pelawak, Along Cham mendakwa isterinya, Afreena Suhaimi sebelum ini bersekedudukan dan merancang untuk berkahwin semula dengan bekas suaminya.
Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad berkata dakwaan itu dibuktikan menerusi rakaman audio yang diperolehi daripada rakan baik Afreena.
“Rakaman itu adalah tentang tindakan curang isteri saya yang pernah bersekedudukan dengan bekas suaminya (perkahwinan kedua) di rumah yang dibelinya.
“Dia juga ada merancang untuk berkahwin semula dengan lelaki itu,” katanya ketika prosiding ketiga pengesahan lafaz cerai taklik di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Bandar Baru Salak Tinggi petang tadi.
Along mengemukakan kenyataan tersebut di hadapan Hakim Syarie Muhamad Nazri Basrawi. Dia hadir ke mahkamah petang tadi ditemani ibunya serta peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan.
Afreena yang tidak hadir ke prosiding berkenaan hanya diwakili peguam, Mohamad Iezwan Lelias.
Along yang hadir ke mahkamah sama Selasa lepas sebelum ini menyatakan pelakuan curang sebagai antara tiga punca lafaz taklik dijatuhkan terhadap isterinya pada Julai tahun lepas.
Selain itu Afreena juga didakwa telah melanggar syarat perkahwinan kerana berhubung dengan bekas isteri Along, selain membelakangkan suami berkaitan hal rumah tangga.
Afreena bagaimanapun tampil menolak dakwaan tersebut.
Pasangan suami isteri tersebut berkahwin pada April tahun lepas. Afreena pernah gagal dalam dua perkahwinannya sebelum ini sementara Along pernah bergelar suami kepada pelakon Zila Saeron selama enam tahun, antara 2010 hingga 2016.
Sementara itu mahkamah telah menetapkan 14 dan 18 Ogos ini sebagai tarikh baharu bagi perbicaraan perceraian pasangan berkenaan. – UTUSAN