PETALING JAYA: Perkembangan teknologi baharu terutama berkaitan perkembangan kecerdasan buatan (AI) akan menjadi fokus utama dalam edisi ketiga Malaysia Digital Xceleration (MDX) Summit 2025 (Sidang kemuncak MDX) dan SmartGov Malaysia 2025 anjuran Jabatan Digital Negara (JDN).
Pameran dan persidangan yang akan diadakan selama tiga hari bermula 17 September itu juga hasil kerjasama strategik JDN dan Synapze Sdn. Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil berkata, sidang kemuncak itu turut memberi penekanan kepada teknologi peralatan baharu dan impaknya terhadap kehidupan harian masyarakat.
Katanya, program tersebut yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada September nanti dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju digital ASEAN.
“MDX Summit 2025 merupakan penganjuran tahun ketiga dan sentiasa berbeza kerana menampilkan teknologi baharu. Tahun ini, fokus diberikan kepada bagaimana alat baharu ini menjadikan hidup lebih produktif dan bermakna.
“Jadi saya jemput orang ramai untuk hadir dan menyaksikan sendiri teknologi-teknologi terkini yang bukan sahaja dari Malaysia, malah turut disertai oleh pempamer dari luar negara,” katanya dalam kenyataan.
MDX 2025 berteraskan lima asas iaitu Data Generasi Baharu, Komputasi Masa Depan, Kepercayaan Digital, Kreativiti Baharu dan Pembangunan Bakat.
Ia akan menampilkan bagaimana inovasi teknologi digunakan dalam penyelesaian praktikal kepada perniagaan, kerajaan dan rakyat.
SmartGov Malaysia 2025 pula menumpukan kepada tiga tunjang utama iaitu AI untuk penyelesaian berfokus rakyat, Big Data (data raya) untuk ketelusan dan Cloud Computing (pengkomputeran awan) untuk perkhidmatan yang tangkas serta berdaya tahan.
Sementara itu, Pengarah Synapze, Andrew Tai berkata, impak MDX diukur melalui pelbagai metrik, termasuk peningkatan bilangan syarikat berstatus Malaysia Digital (MD) yang kini mencecah 6,000 pendaftaran.
“Ia bukan hanya soal bilangan atau kewangan, tetapi juga pengetahuan baharu, perbualan berkualiti, serta bagaimana ekosistem MD digerakkan untuk menjayakan program ini,” katanya
Beliau berkata, sambutan edisi kali ini dijangka akan lebih tinggi berbanding dua edisi sebelumnya.
“Saya jangkakan bila kita membuka pendaftaran esok, mungkin akan ramai yang ingin menyertai MDX Summit ini. Jika edisi sebelum ini kita berjaya mengumpulkan lebih 4,000 pengunjung dan pempamer, mungkin kali ini boleh melebihi 5,000,” katanya. – UTUSAN











