KUALA NERUS: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan beliau dengan beberapa menteri dan Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) di Putrajaya malam tadi adalah untuk membincangkan isu-isu semasa termasuk cadangan cukai dan badan kehakiman.
Perdana Menteri berkata, pertemuan itu diadakan selepas diminta oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi setelah beliau mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH), Isnin lalu.
“Hari Isnin saya putuskan jumpa PH, itu biasa. Jadi Datuk Seri Ahmad Zahid kata sebaiknya jumpa juga BN. Saya pun kata baik, kita jumpa semalam.
“BN faham dan beri kerjasama penuh dalam isu-isu ini. Ia termasuk isu cadangan cukai kerana banyak khabar angin tentang petrol RON95, berdasarkan cadangan awal yang jemaah menteri tidak setuju. Jadi biar kita selesaikan bab itu. Kemudian bab badan kehakiman itu saya jelaskan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama Ketua Cabang PKR Terengganu, Kelantan dan Pahang secara tertutup di sebuah hotel, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga Presiden PKR meluangkan masa hampir satu jam bertemu pemimpin dan ahli parti itu dalam Seminar Pemantapan Organisasi di lokasi sama.
Pertemuan yang dihadiri lebih 2,000 ahli parti itu diadakan secara tertutup yang turut dihadiri Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr.Fuziah Salleh dan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek.
Sementara itu, ditanya mengenai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Anwar dengan nada berseloroh bertanyakan kembali kepada wartawan ‘bila?’ tanpa mengulas lanjut.
Berhubung intipati pertemuannya dengan ahli PKR di tiga buah negeri itu, beliau berkata, ia bertujuan menjelaskan isu-isu semasa terhadap pemimpin akar umbi tentang tindakan-tindakan yang diambil bagi memerangi rasuah dan proses pelantikan Ketua Hakim Negara yang tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.
Anwar berada di Terengganu untuk menyempurnakan Majlis Peluncuran Pembangunan Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau di Terengganu di Stesen Janakuasa Sultan Mahmud, Kenyir, Hulu Terengganu, pagi ini.
Beliau kemudian merasmikan Program Madani Rakyat peringkat negeri di Pasar Kedai Payang, di Kuala Terengganu sebelum menghadiri perjumpaan tersebut. – UTUSAN