PETALING JAYA: Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari digesa membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Thailand dan Kemboja, susulan hantaran bersifat biadab dalam media sosial.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas yang memperlekeh usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi jambatan pendamai antara Thailand dan Kemboja adalah tidak wajar.
Tegasnya, tindakan itu mencerminkan ahli politik lebih rela melihat kegagalan daripada mengiktiraf kejayaan yang membanggakan negara.
“Kejayaan kedua-dua negara mencapai kata sepakat untuk melaksanakan gencatan senjata adalah berkaitan dengan soal maruah negara dan bukan melibatkan soal parti atau politik individu.
“Ini soal peranan Malaysia sebagai pemimpin yang disegani di rantau ini. Dunia menyambut baik usaha ini dari Presiden Amerika Syarikat, Presiden China, sehinggalah ke seluruh komuniti ASEAN tetapi pembangkang kita pula memilih untuk menjadi sinis dan pesimis,” katanya menerusi hantaran dalam media sosial, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Fadhli memuat naik gambar tiga watak binatang iaitu kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang serta monyet sebagai hakim.
Beliau menulis kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang, sambil meletakkan artikel mengenai pergolakan Thailand-Kemboja di sebelah gambar tersebut.
Hantaran itu dimuat naik selepas Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat untuk berdamai dengan melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat susulan konflik sempadan yang berlaku di antara kedua-dua negara.
Muhammad Kamil berkata, amalan politik sempit perlu ditolak dan negara tidak boleh membenarkan suara-suara sumbang itu terus menjadi liabiliti kepada nama baik negara.
“Malaysia sama sekali tidak akan mempertahankan tindakan gopoh dan bebal mereka yang tiada secebis rasa hormat pada negara lain, apatah lagi negara jiran, dan pastinya kita juga tidak bersetuju sekiranya negara tercinta ini dihambur kenyataan biadab yang serupa.
“Tindakan mereka jelas tidak patriotik dan memalukan negara. Tuntutan Islam yang sepatutnya meraikan perdamaian, disanggah dengan kebencian politik yang membuak. Ini jauh menyimpang dari ajaran dan tuntutan Islam,” katanya.
Beliau turut menempelak pembangkang yang tidak pernah merekodkan sebarang kejayaan diplomatik sebesar itu semasa berpeluang menjadi kerajaan.
“Mereka lupa semasa berkuasa, tiada satu pun kejayaan diplomatik seumpama dan sebesar ini berjaya digerakkan untuk dicapai.
“Kini, apabila Kerajaan Madani berdiri megah menegak serta melakar diplomasi di persada antarabangsa dan memainkan peranan aktif menyelesaikan pertelagahan, pembangkang memilih untuk menyemai kebencian dan dendam kesumat.
“Malaysia akan terus melangkah. Kita akan terus menjulang nama Malaysia dengan diplomasi, bukan dengan retorik kosong. Kita percaya pada penyelesaian yang berasaskan kemanusiaan, bukan kebencian.-UTUSAN










