KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan memperdaya kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), lima tahun lalu.
Hakim Suzana Hussin turut memerintahkan tertuduh, P. Sathia Seelan, 52, dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Sathia Seelan didakwa memperdaya dua pegawai Perkeso untuk mempercayai dokumen senarai nama dan tandatangan kehadiran peserta bagi tiga kursus di bawah lima syarikat berbeza sedangkan program itu tidak pernah dijalankan.
Tindakan itu telah mendorong Perkeso membuat bayaran sebanyak RM496,000 kepada syarikat milik tertuduh, Global Education Network Sdn. Bhd. yang mana pembayaran tersebut tidak akan dibuat sekiranya pertubuhan itu tidak diperdayakan.
Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Menara Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso, Putrajaya di antara 23 Disember 2020 dan 12 Ogos 2021.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, rakannya, R. Nanthagopal, 43, turut dijatuhi hukuman denda RM300,000 atau 10 bulan penjara selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan bersubahat dengan Sathia Seelan melakukan kesalahan di tempat dan masa yang sama.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazwani Mohamad Sobry memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran supaya kesalahan sedemikian tidak berulang.
Bagaimanapun, peguam bela, R. Babu Naidu yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu hukuman ringan atas alasan anak-anak guamnya telah insaf serta telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang siasatan sejak tahun lalu. – UTUSAN