SEREMBAN: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (PSA) yang telah diluluskan Mac lalu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, perkara itu telah dimaklumkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat kepadanya pagi tadi.
“Ini bermakna kita mempunyai entiti sendiri. Parlimen akan terpisah daripada eksekutif seperti terpisahnya kehakiman daripada eksekutif.
“Maksudnya kita boleh merancang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan kita apa yang dikehendaki dalam Perlembagaan, kita bebas dalam melaksanakan tugas tersebut dan tidak terikat arahan daripada eksekutif, “katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Bengkel Buku Panduan Parlimen Belia Malaysia di sini hari ini.
Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 telah diluluskan di Dewan Rakyat pada Mac lalu.
Ia sekali gus menyaksikan Perkhidmatan Parlimen bakal mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia.
Sementara itu, dalam sidang akhbar, Johari berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, akan membuat pengumuman rasmi berkenaan penguatkuasaan akta itu dalam masa terdekat.
Beliau turut memaklumkan bahawa Parlimen akan bersidang semula pada 21 Julai, dan beliau akan berbincang dengan Azalina untuk menetapkan tarikh rasmi penguatkuasaan PSA.
“Yang tinggal hanyalah aspek pentadbiran dan pelaksanaan, termasuk penyesuaian struktur dan perkhidmatan sedia ada. Ini untuk memastikan perkhidmatan Parlimen berjalan dengan lancar dan bebas.
“Alhamdulillah, ini satu perjalanan panjang yang akhirnya berjaya. PSA ini merupakan hasil kerjasama padu antara pembangkang dan kerajaan yang menyokong penuh 100 peratus,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan Parlimen Belia Malaysia dijangka akan dikuatkuasakan Jun tahun depan sebagai agenda penting dalam usaha melahirkan generasi kepimpinan masa hadapan negara.
“Perlu diketahui, penyertaan golongan belia dalam politik masih sangat rendah baik di peringkat global mahupun dalam negara.
“Menurut laporan terbaharu Inter-Parliamentary Union (IPU), setakat Julai 2025, hanya 2.9 peratus ahli Parlimen seluruh dunia berumur 30 tahun ke bawah.
“Di Malaysia, situasi ini kekal membimbangkan apabila data IPU menunjukkan hanya 0.9 peratus Ahli Dewan Rakyat berumur 30 tahun ke bawah, manakala penglibatan mereka yang berumur 40 tahun ke bawah hanya sekitar 12.6 peratus.
“Oleh itu, pembaharuan sistem Parlimen Belia menjadi antara misi saya sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi mempersiapkan para belia (18-30 tahun) yang berminat untuk masuk ke arena politik dan kepimpinan negara,” katanya. – UTUSAN











