KOTA BHARU: Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang masih layak memimpin Pas kerana faktor usia bukan perkara utama dalam arena politik.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Abdul Hadi disifatkan sebagai panglima perang dan kebiasaannya tidak turun ke medan untuk berperang.
Menurutnya, kedudukan Abdul Hadi sebagai Presiden Pas adalah merancang strategi dan mengatur gerakan parti.
“Tidak berbangkit soal beliau (Abdul Hadi) tua atau muda kerana lebih penting adalah seorang panglima perang perlu ada pengalaman, maklumat dan kemampuan merangka serta merancang strategi. Yang berada di medan perang, barulah orang muda.
“Macam askar, panglima dan ketua turus tidak turun berperang tetapi merangka strategi, gerak kerja dan sebagainya,” katanya da;a, sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Hari Kebajikan Negeri Kelantan 2025 di pekarangan Masjid Jamek Muhammadi, di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Amar berharap perwakilan Pas dari setiap kawasan memilih individu yang benar-benar berkemampuan dan daripada pelbagai latar belakang sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas pada pemilihan sempena Muktamar Pas pada September ini.
Katanya, Jawatankuasa Pas Pusat merupakan tulang belakang sebenar yang bertanggungjawab membantu presiden dalam melaksanakan kerja-kerja parti.
“Kita harap perubahan besar berlaku di peringkat itu dan sekali lagi ditegaskan, umur bukan perkara utama kerana dalam politik, ilmu serta pengalaman merupakan aspek yang lebih penting, sebab politik ini tiada formula dan tidak boleh bergantung kepada ijazah semata-mata.
“Orang muda ada kebolehan dan begitu juga sebaliknya. Orang tua sungguh pun kekurangan dari segi tenaga fizikal tetapi ada pengalaman dan ilmu luas dalam politik. Jadi kita gabungkan semuanya,” katanya. – UTUSAN










