Abang, kakak ipar mengadu mengantuk sebelum kejadian

Abang, kakak ipar mengadu mengantuk sebelum kejadian

AHLI keluarga sebak melihat anggota bomba bersama anggota pasukan Pertahanan Awam bertungkus lumus mengeluarkan mayat enam beranak yang lemas dalam kereta yang tenggelam di Sungai Korok di Jitra, Kedah hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Perasaan bimbang seorang wanita selepas abang dan kakak iparnya mengadu mengantuk dan keletihan akhirnya menjadi tragedi apabila pasangan tersebut bersama empat anak mereka ditemukan lemas.

Nur Adliah Syuhada Ishak, 26, berkata, abangnya, Mohamad Azim Izat, 32, dan kakak ipar, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, menyatakan perkara itu pada malam sebelum kenderaan mereka dipercayai terjunam ke dalam Sungai Korok,  Sabtu lalu. 

“Kami memang sudah rasa tidak sedap hati sebab malam sebelum kejadian abang dan kakak ipar beritahu mereka mengantuk sangat. Sebab itu saya minta mereka tidur dahulu di rumah saya sebelum pulang ke Jerlun.

“Mereka biasa pulang pada awal pagi, jadi kami tidak rasa pelik. Namun apabila mereka tidak sampai di rumah di Jerlun, kami rasa tidak sedap hati dan cuba mencarinya namun tidak jumpa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Katanya, abangnya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Alor Setar manakala kakak iparnya berniaga roti canai di Pendang, dekat sini.

Sebaik menyedari kehilangan mereka, kata Nur Adliah Syuhada, dia dan beberapa ahli keluarga lain cuba mencari di sepanjang laluan dari rumahnya sehingga ke Jerlun pada hari kejadian sehingga semalam.

“Kami cari sepanjang jalan termasuk di lokasi kejadian tetapi tidak jumpa apa-apa yang mencurigakan namun dalam hati terdetik mungkin mereka ada di kawasan ini.

“Usaha mencari terus dilakukan sehingga semalam dan pagi ini kami dimaklumkan oleh orang awam tentang penemuan kereta di dalam Sungai Korok kira-kira pukul 8 pagi,” ujarnya.

Menurutnya, dia terus ke lokasi kejadian dan hanya ternampak bahagian belakang kereta sebelum dinaikkan ke tebing dengan kesemua mayat masih di dalam kenderaan jenis Proton Iswara.

“Hanya Tuhan yang tahu betapa hiba dan luluhnya hati saya melihat jasad dibawa keluar dan dinaikkan satu persatu dari kereta terbabit,” katanya.

Katanya, dia sedih mengenangkan empat anak saudara termasuk bayi yang masih kecil kerana kesemua mereka amat rapat dengannya malah anak-anak saudaranya memanggilnya ‘mama’ dan suaminya pula dipanggil abah.

Tambahnya, anak sulung pasangan itu, Putri Qisya, 12, terselamat kerana ketika kejadian dia tidak mengikuti keluarga ke rumahnya dan berada di rumah neneknya di Jerlun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN