PETALING JAYA: Penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya memberi manfaat dan mengurangkan bebanan bayaran tol kepada kira-kira 941,000 pengguna khususnya mereka yang berulang alik dari rumah ke tempat kerja setiap hari.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman ‘Penghargaan Untuk Rakyat’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya utama bagi tahun ini.
Katanya, seperti dimaklumkan Perdana Menteri, pada tahun ini, kadar tol di 10 lebuh raya terbabit dijadualkan akan dinaikkan selaras dengan perjanjian yang telah ditandatangani oleh pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Bagaimanapun, Kerajaan Madani amat memahami tekanan kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat ketika ini. Oleh itu, langkah penangguhan kenaikan kadar tol ini diharap dapat meringankan beban pengguna lebuh raya.
“Penangguhan kenaikan kadar tol ini dapat memberi manfaat dan mengurangkan bebanan bayaran tol kepada kira-kira 941,000 pengguna, khususnya pengguna harian yang berulang alik dari rumah ke tempat kerja setiap hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
10 lebuh raya yang terlibat penangguhan kadar kenaikan tol diumumkan Perdana Menteri adalah Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB); Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).
Turut terlibat adalah Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE); Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS); Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE); Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).
Nanta Linggi berkata, sebagai balasan terhadap komitmen itu, kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) akan menanggung pampasan sebanyak lebih RM500 juta kepada syarikat konsesi terlibat agar operasi dan penyelenggaraan lebuh raya tetap berjalan dengan baik dan selamat untuk semua.
Katanya, keputusan itu bukan mudah, tetapi ia dibuat dengan pertimbangan yang sangat teliti dan penuh tanggungjawab.
“Ia membuktikan bahawa suara rakyat didengar dan diberi keutamaan dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani.
“Saya dan seluruh warga KKR akan terus komited memastikan jalan raya dan lebuh raya negara sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan mampu dimanfaatkan oleh semua golongan rakyat, tanpa mengira latar belakang,” katanya. – UTUSAN











