915 peserta tamat latihan MyLesen B2 di Kuala Lumpur

915 peserta tamat latihan MyLesen B2 di Kuala Lumpur

AEDY Fadly Ramly ketika Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Dewan MPAJ, Taman Melawati hari ini. UTUSAN/ IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 915 peserta telah berjaya menamatkan latihan dan menerima lesen memandu motosikal B2 menerusi Program MyLesen yang dilaksanakan di bawah anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Majlis penyerahan lesen peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu berlangsung hari ini di Dewan MPAJ, Taman Melawati, dan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.

Katanya kejayaan peserta dalam program ini membuktikan komitmen kerajaan untuk memperkasa golongan B40 dan belia berpendapatan rendah agar memperoleh lesen memandu secara sah dan berpatutan.

Menurutnya, program berkenaan turut menyasarkan seramai 15,000 peserta dari seluruh negara bagi tahun ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.25 juta yang disalurkan kepada enam Institut Memandu terpilih.

“Di Kuala Lumpur sahaja, seramai 1,200 peserta disasarkan dan hari ini kita meraikan 915 daripadanya yang telah lulus dan layak menerima lesen memandu B2 secara rasmi,” katanya ketika majlis penyerahan lesen tersebut.

Majlis hari ini turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada enam Institut Memandu di bawah seliaan JPJ WPKL yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

Aedy turut menegaskan lesen memandu bukan sekadar sekeping kad plastik, tetapi suatu amanah dan simbol tanggungjawab pengguna jalan raya.

“JPJ terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif keselamatan termasuk Program Cakna Lalulintas, Tunggang Bijak: Modul pendidikan untuk penunggang motosikal, kerjasama dengan 21 sekolah melalui Kadet JPJ serta penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar bas berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025,” katanya,

Aedy memaklumkan JPJ turut bercadang untuk menambah lagi sekolah memandu baharu di Kuala Lumpur bagi menampung permintaan tinggi serta mengatasi masalah kekangan kapasiti latihan sedia ada.

“Setakat ini, penambahan institut memandu di sekitar Kuala Lumpur masih dalam peringkat perbincangan. Langkah ini dijangka dapat membantu melancarkan proses latihan dan ujian memandu secara lebih efisien,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa JPJ dan Kementerian Pengangkutan kini sedang meneliti cadangan untuk mewujudkan institut memandu berkonsep baharu bagi mengatasi isu tempoh menunggu yang terlalu lama, khususnya di kawasan berpenduduk padat.

“Bagi penubuhan institut memandu dengan konsep baharu ini, kita akan mengambil inspirasi daripada model yang diguna pakai di negara-negara maju. Cadangan ini juga akan dibuka kepada syarikat-syarikat yang berminat untuk melaksanakannya di negara kita,” katanya.

Program MyLesen B2 diwujudkan bagi membantu golongan tidak berkemampuan untuk mendapatkan lesen memandu secara sah, mengurangkan kesalahan memandu tanpa lesen serta meningkatkan keselamatan jalan raya di peringkat komuniti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN